Tuesday, 21 March 2017

20 Mac 2017

KISAH CANTIK


Semalam aku ke pejabat suami aku untuk menyelesaikan tugasan menulis yang telah terkandas beberapa kali. Di pejabat suami aku ni ada dua orang pekerja, satu wanita dan satu lelaki. Mereka berdua ni aku dah anggap macam adik aku sendiri memandangkan perbezaan umur yang ketara bagi kami.

Dalam keadaan aku yang terkial-kial menyiapkan tugasan, aku berbual-bual dengan mereka. Antara perbualan kami yang menarik perhatian aku bila si budak lelaki ni cakap nak buat membuat rawatan pemutihan seluruh badan. Mungkin warna kulit beliau yang agak sawo matang, dia boleh berfikir demikian. 

Aku tak salahkan dia, masing-masing mempunyai sebab tertentu. Aku hormat apa sahaja sebab dan pendirian dia terhadap perkara yang dia timbulkan itu.

Aku mengeluarkan pendapat aku berkenaan perkara yang dikatakannya. Antara perkara yang aku utarakan adalah obsesi manusia yang terlalu inginkan kecantikkan. Aku berikan contoh kebanyakkan orang Korea Selatan terutamanya penyanyi, pelakon, selebriti mereka membuat pembedahan plastik.

Mereka terlalu taksub untuk mencantikkan wajah, dari membesarkan mata, memancungkan hidung, memungilkan bibir sampailah mengecilkan rahang wajah. Oh!, ngeri aku rasakan. Aku sebenarnya tak faham mengapa mereka yang tersangat agungkan kecantikkan ini bertindak begitu. Antara sebab yang aku tak boleh nak hadam ialah, Orang Korea kebiasaannya bermata sepet atau kecil, ada yang tidak mempunyai kelompak mata, hidung juga tidaklah terlalu mancung, bentuk muka agak lebar dengan rahang yang sederhana besar tetapi mereka tidak inginkan wajah demikian.

Mengapa mereka yang berada dalam kelompok wajah sedemikian terobses untuk mengubah wajah mereka. Sehingga keaslian wajah mereka tidak nampak malah ada yang 80% wajah mereka langsung tidak menyamai wajah asli.

Begitu juga kalau orang kulit gelap, terobses memutihkan warna kulit. Mengapa mereka mendefinasikan kecantikkan itu dengan berkulit putih mulus, hidung mancung, mata besar bersinar, lesung pipit memaniskan roma wajah serta bibir terjuih. Mengapa mereka tidak memaksimumkan kecantikkan asli mereka yang berada di dalam persekitaran mereka.

Aku masih boleh menghadam keinginan seseorang yang berkulit gelap yang tinggal bersama-sama warga berkulit cerah. Oleh kerana sentiasa dikelilingi orang yang berkulit putih, jadi tidak mustahil keinginan untuk berbuat demikian akan timbul. Mungkin tidak mahu terlalu menonjol ketidaksamaan, maka lahir keinginan untuk setara. Maka alasan yang diberikan bolehlah diterima akal.

Maka benarlah, setiap manusia tidak sama mahunya. 

Begitulah kehidupan kita, ada ketika kita goyah dengan godaan dan keinginan dalaman kita. Kita teringin untuk cantik yang mana kita sendiri tidak tahu secantik apakah yang kita inginkan. 

Adakah ratu cantik dunia itu memenuhi definasi cantik bagi kita? Adakah cantik di Mata orang adalah cantik juga bagi kita?

Tepuk dada, Istiqfarlah seketika. Mungkin dalam waktu kita terlalu berkeinginan untuk cantik, kita telah memperlekehkan kejadian yang Allah ciptakan untuk kita. Semoga kita terpelihara dari obsesi untuk cantik ini.

InsyaAllah.

Monday, 20 March 2017

03.03.2017

BILA JIRAN MENINGGAL


Semalam aku menzirahi keluarga salah seorang jiran di taman perumahan aku yang telah kembali kepada Pencipta. Walaupun aku tidak mengenali insan yang telah dibaluti kemas dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki itu, aku menziarahi atas dasar menghormati hidup berjiran.

Jasad yang telah dipakaikan dengan seragam rasmi putih bersih itu aku pandang di sebalik pintu rumahnya. Ramai kenalan dan sanak saudara yang berkunjung memberi doa dan menglafazkan ayat suci sebagai hadiah buat insan yang terbujur kaku itu. 

Kedengaran sayup suara sebak sendu mengalunkan ayat-ayat suci di sisi jasad tanpa roh itu. Aku sebenarnya cepat terhiba apabila melalui situasi begini. Dengan pantas aku mengeluarkan telefon pintar dari dalam poket jubahku.

Surah Yassin terus dicari dan aku mulai membaca perlahan-lahan. Entah mengapa setiap kali surah ini aku diperdengarkan atau aku sendiri yang menuturnya, pasti rasa sebak itu terus menusuk ke hati.

Benarlah, di setiap pemergian seseorang ke negeri abadi, pasti akan ada insan yang merindui. Walau jasad berada di liang lahad, di bumi pasti ada yang merindui dan mengingati kenangan yang telah dilalui bersama.

Aku juga masih berada di dalam mood tidak boleh 'move on' dengan pemergian bapa saudaraku yang aku panggil Ayah De. Rasanya sudah menghampiri tiga tahun pemergian bapa kesayangan aku itu.

Setiap kali aku teringatkan arwah, pasti laju airmata aku mengalir, deras tanpa perlu dipaksa-paksa. Entah mengapa aku sentiasa berkeadaan begini, tidaklah aku pasti. Mungkin pemergian arwah secara mengejut dan tanpa aku memandangnya buat tatapan kali terakhir membuatkan aku sentiasa merindui beliau.

Hehehe, sebenarnya menulis dua perenggan ringkas berkaitan Ayah De juga berjaya mengaburkan pandangan aku ketika ini. Cepat benar lebihan air di mata aku ini merembes keluar laju mengusapi pipiku.

Nanti akan aku ceritakan kisah Ayah De sebagai satu penghargaan buatnya.

Semoga Allah menempatkan arwah bapa saudara Ayah De, Ayah Ngah, ibu saudaraku Zainab, nendaku Tok Wok dan Tok Ki Long aku yang telah lama kembali ke negeri abadi bersama-sama orang yang di kasihiNYA.

Aku juga akan kembali ke negeri abadi itu.