Ulasan Buku
Tajuk buku: Kumpulan Cerpen; Bila Ayah Berkaca Mata Hitam
Penulis: Mohd Helmi Ahmad
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Bhd (ITBM)
ISBN: 978-967-460-249-9
Edisi/ Tahun Terbitan yang dimiliki: Cetakan pertama, 2016
Bilangan halaman: 222
Buku yang menghimpunkan 18 cerpen ini merupakan karya saudara Mohd Helmi Ahmad yang pernah disiarkan di dalam suratkhabar dan majalah. Secara peribadi, saya menyukai ke semua cerpen yang dibukukan ini.
Setiap plot yang disampaikan amat jelas isinya, tidak meleret-leret serta penuh dengan nilai cinta, kasih dan sayang. Cinta seorang ayah kepada anaknya, setia seorang isteri terhadap suaminya, toleransi sesama tetangga, pengorbanan guru dan pelajar malah banyak lagi.
Cerpen pertama yang memberi kesan emosi kepada saya adalah cerpen bertajuk 'Peah, aku mahu pulang'. Penulis begitu teliti dalam menggarap kisah seorang anak lelaki yang bakal menyambut cahayamata pertama. Kehadiran Peah sebelum isterinya mengandung menjadikan hubungan ibunya dengan Peah terlalu rapat. Rapat hubungan ke duanya bagaikan sebuah cinta yang utuh.
Atas dasar keselamatan sang isteri, dia tega menyuruh ibunya menghalau Peah pergi. Manakan mungkin cinta yang telah dalam dapat diputuskan begitu sahaja. Kesetiaan Peah tidak dapat disangsikan lagi, walau dihalau pergi, dia tetap kembali menuntut simpati dan kasih. Siapakah Peah? Mengapa lelaki itu bersikap kejam terhadapnya?
Cerpen ke dua yang mengentarkan perasaan saya ialah cerpen bertajuk 'Bila Ayah Berkaca Mata Hitam'. Seorang ayah yang telah tua dan kematian isteri, tiba-tiba sahaja berubah perangai. Anak-anak dan cucu kehairanan melihat ayah tua itu mengenakan kaca mata hitam setiap masa hatta di rumah juga.
Ke mana geraknya si ayah, pasti kaca mata hitam itu terselit di hadapan kelopak matanya. Malu sungguh si anak melihat tingkah ayahnya. Adakah ayahnya sudah nyanyuk atau buang tabiat? Sehingga si anak bertembung dengan sahabat baik ayahnya, terbongkarlah misteri di sebalik kaca hitam berkilat itu. Misteri apakah yang membuatkan si anak tersentak?
Cerpen ke tiga yang menyentuh perasaan saya iaitu 'Kerana Bukan Cita-cita'. Cerpen ini mengisahkan seorang guru yang langsung tidak meminati kerjayanya itu. Apatah lagi dia terpaksa mengajar di kelas yang mempunyai pelajar yang tidak pandai berbahasa Melayu. Rasional emosinya sering terganggu apabila masuk ke kelas itu.
Namun pelajar itulah yang menerbitkan bibit kecintaannya terhadap kerjaya yang tidak disukai dahulu. Apakah kisah pelajar tersebut? Benarkah komunikasi hanya boleh difahami dalam bentuk verbal?
Cukuplah saya kupas 3 cerpen ini untuk menimbulkan berahi anda agar memiliki buku ini. Tidak rugi membaca cerpen yang berkualiti ini untuk membuka mata anda tentang nilai kecintaan pada manusia sesama manusia dan juga manusia terhadap haiwan serta hidupan lain.
Buku ini saya dapatkan dari penulis sendiri. Boleh juga hubungi penerbit untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini.
No comments:
Post a Comment