Thursday, 20 April 2017

44 ENTRI

Semasa mengambil keputusan untuk menyertai Kelas Tutorial Asas Blog & Penulisan yang dikendalikan oleh kak Masayu Ahmad, objektif yang ingin aku capai adalah menemui rentak dan idea untuk menulis. Selari dengan apa yang aku pelajari dalam Bengkel Penulisan Buku Umum yang aku hadiri bulan Februari lepas.

Kelas kelolaan kak Masayu ini merupakan inisiatif peserta sendiri. Kak Mas boleh diibaratkan Pengetua yang memantau guru-guru di bawahnya. Setiap hari atau selang hari, pasti 'dentuman rotan' hinggap ke atas meja. Menyedarkan peserta tentang matlamat dan objektif yang telah ditetapkan.

Oh, jangan salah faham, bukan Kak Masayu pakai rotan, sebenarnya apa yang Kak Masayu buat adalah memberi motivasi dan dorongan untuk kami konsisten menulis. Kami perlu menulis setiap hari tanpa alpa tentang apa sahaja subjek dan situasi yang dilalui sehari.

Sebagai contoh surirumah, cara menguruskan rumah dan anak boleh dijadikan 'subject matter' dalam penulisan. Jadi aku jadikan kehidupan aku bersama anak syurga yang ada kelas terapi sebagai sumber utama penulisan blog aku. Kenangan zaman kecil zaman sekolah dulu aku abadikan dalam kisah catatan pengalaman. Sementara hobi membaca yang telah lama malap kembali aku hidupkan akhir tahun lepas, aku visualkan dalam ulasan buku.

Secara jujurnya, aku masih mencari rentak yang betul untuk terus menulis. Tidak dinafikan ada waktu terfikir tiada manfaat aku curahkan nota-nota memori yang hanya ada dalam ingatan tanpa perlu dizahirkan dalam bentuk penulisan. Bagusnya ketika aku berfikir begitu, terus sahaja motivasi muncul di kumpulan whatsapps yang dikendalikan oleh kak Masayu. Begitulah pentingnya berbuat sesuatu melalui guru. Mereka sentiasa ada untuk memandu ke arah jalan yang benar.

Rakan juga memainkan peranan yang penting, sentiasa berikan semangat dan dorongan untuk terus melangkah ke hadapan. Itulah matlamat yang perlu kita serapkan setiap kali masuk ke dalam sesebuah kelas samada secara maya mahupun bertemu muka.

Selesai sahaja 44 entri yang diharuskan setiap peserta, bukan bermakna selesai sudah kelas blog dan penulisan. Ianya seperti jambatan yang menghubungkan idea dan ilham ke atas medium yang kita namakan kertas atau skrin. Bentuk-bentuk kabur yang sentiasa berlegar diruang sempit dinamakan fikiran itu perlu dibebaskan. Dilahirkan ia sebagai satu bentuk komunikasi kita terhadap apa yang kita simpan.

Bagi aku suara rindu yang memberatkan hati dan menyesakkan hati perlu diubati dengan pengakuan. Aku inspirasikan rindu terhadap arwah bapa saudaraku dalam penulisan di blog ini. Suara resah dan gelisah pada perkembangan anak, aku selitkan dengan tingkahlaku mereka di setiap cerita yang menyenangkan berkisah tentang mereka.

Itulah bahagianya menulis dari hati. Menulis untuk melepas kerinduan pada yang telah pergi, menulis harapan dan impian pada masa depan yang diingini. Tidak salah untuk abadikan kisah hidup untuk diri dan tatapan pada yang lain walaupun kisah itu boleh sahaja dicoretkan dalam diari.

Kita punyai matlamat sendiri, berbuatlah apa yang dirasakan mendatangkan kebaikan untuk semua. Semoga amal kebaikan timbangan di akhirat kelak menjadi berat asbab penulisan kita.

Semoga aku dan rakan yang lain terus berusaha untuk menulis dan dikurniakan ilham yang baik sepanjang penulisan kami. Untuk anda yang baru hendak mengenali aku, semoga penulisan aku mendatangkan kebaikan untuk kalian.

No comments:

Post a Comment