Ulasan buku
Tajuk buku: Budak Kripton
Penulis: Ammar Kamilin
Penerbit: Legacy Publishing PLT
ISBN: 978-967-0893-22-8
Edisi/Tahun terbitan yang dimiliki: Cetakan pertama, 2016
Bilangan halaman: 146
Bagaimana reaksi kita sebagai ibubapa apabila pulang dari kerja dengan badan yang letih beserta fikiran yang masih berserabut dihampiri anak. Anak yang menunggu kepulangan kita begitu teruja melihat kereta yang kita pandu memasuki garaj sehinggalah mata mereka memerhatikan kita menghenyakkan tubuh di sofa.
Sekiranya wajah dan bahasa tubuh kita kelihatan ceria dan mesra, pasti anak mendekati dengan riang. Bayangkan pula reaksi yang bertentangan pula terpantul di riak wajah kita? Mahukah anak mendekati?
Halaman 4 di dalam buku ini ada menceritakan situasi pernah dialami oleh penulis. Pertanyaan si anak yang tulus memberikan gambaran bahawa anak sememangnya perlukan perhatian yang sewajarnya dari kita ibubapa mereka.
Buku yang menghimpunkan dialog penulis bersama anak dikemaskan lagi dengan penerangan dari segi psikologi yang mudah difahami. Penerangan inilah yang dilihat mahal dalam usaha kita untuk lebih mengenali tingkah laku anak.
Anak-anak yang sentiasa melalui hari-hari baru dalam kehidupan mereka sentiasa ingin tahu apa yang boleh mereka lakukan. Mereka memerlukan ibubapa sebagai pemandu arah agar mereka mengenali sedikit demi sedikit dunia yang mereka diami.
Berkawanlah sebaik-baiknya dengan anak, agar mereka nyaman disisi kita dan sentiasa menghidup suburkan ingatan mereka pada kita. Mereka pasti menjadikan kita harta paling berharga dalam diri mereka. InsyaAllah.
Buku ini saya beli melalui penulis sendiri. Boleh juga menjenguk-jenguk di mana-mana kedai buku atau menghubungi penerbit untuk mendapatkannya.
No comments:
Post a Comment