Awal pagi tadi jiran disebelah rumah yang menghadap sisi dan belakang rumah menelefon aku. Suspen juga dibuatnya memandangkan kami jarang sangat bersua muka apatah lagi berbual-bual kosong.
Jiran: "Maaflah akak telefon pagi begini, ada perkara yang akak nak bagitahu. Sebelum tu akak harap awak tak marah".
Aku: "Tak pe kak, saya okey je ni. Hal apa tu kak". (Walaupun masa itu aku dah berdebar-debar).
Jiran: "Begini, depan rumah akak ni ada air bertakung, tiap-tiap pagi selalu sangat air bertakung betul-betul depan pintu pagar rumah akak".
(Masa ni aku dah keliru, apa pula perkaitan air bertakung dengan aku. Nasib baik aku tahan diri dari menyampuk).
Jiran: "Sebenarnya dah lama air ni bertakung, tapi dulu sikit sahaja, akak tak rasa apa. Cumanya sekarang bertambah banyak sampai bertakung. Jadi hari-hari akak perlu hadap masalah ni".
Aku masih diam, memberi waktu jiran berdiplomasi tentang permasalahan yang dihadapinya.
Jiran: "Sebenarnya air ni dari arah belakang rumah awak. Akak pergi ke arah bahagian belakang rumah awak, nampak ada air keluar dari sana terus ke depan rumah akak ni. Cuma akak tak pasti, betul-betul dari rumah awak, atau dari sederet lorong sana".
Aku: "Masyaallah. Ye ke kak? Dah lama ke masalah ni?".
Jiran: "Sebenarnya dah lama, cuma sekarang bertambah teruk."
Perbualan dipanjangkan lagi. Akhirnya aku sudahkan dengan janji untuk melihat perkara yang diperkatakan serta tindakan seterusnya.
Terus aku khabarkan pada pembantu rumahku. Pelbagai telahan dan andaian yang dibuat mengenai perkara tersebut. Lantas aku meminta bibik ke bahagian belakang untuk mengambil gambar ke semua bahagian dibelakang rumah.
Selesai menekuni gambar yang diambil, aku berpendapat bahawa kesan air yang mengalir dari bahagian belakang rumah hingga ke depan pagar jiran adalah air hujan. Memandangkan rumah aku dan 3 lagi rumah yang sederet dengan rumahku agak tinggi. Jadinya andaian aku kira boleh diterima pakai.
Kebocoran paip juga tak mungkin berlaku memandangkan saluran paip di rumah aku telah dibuat dibahagian atas tanah. Asalnya saluran paip di dalam tanah, namun 3 tahun lepas telah ada kebocoran, terus suami mengupah tukang paip untuk membuat saluran baru. Jadinya aku yakin saluran paip di rumah elok dan berfungsi dengan baik.
Namun, ada satu perkara yang aku bimbangkan sekiranya air tersebut merupakan sisa kumbahan yang kotor lagi bernajis. Walaupun aliran air tersebut tidak menerbitkan sebarang bau, ada baiknya kalau aku bertanyakan pada yang pakar.
Terus telefon pintar dipegang dan aku mula mencari perkataan Indah Water Konsortium (IWK). Website IWK telah ditemui tetapi agak tidak tahu bahagian mana perlu dirujuk. Aku klik mukabuku syarikat tersebut.
Dari mukabuku, terus aku bermesej melalui facebook messenger dengan pihak IWK. Agak-agaknya, apa yang berlaku?
Nanti aku sambung kisah ini.
No comments:
Post a Comment