Ulasan buku
Tajuk: Laki Aku Negro, Kau Peduli Apa
Penulis: Dr. Hayya Bilal
Penerbit: Puteh Press
ISBN: 978-967-369-325-2
Bilangan mukasurat: 138
Edisi/ Tahun Terbitan yang dimiliki: Cetakan ke tiga, 2017
Buku ini ditulis oleh Puan Dr. Jamilah Jaafar atau nama pena Dr. Hayya Bilal yang sudah mendirikan rumahtangga hampir lebih 20 tahun. Diceritakan bagaimana hatinya yang tidak diputik rasa sayang pada suami mulai dibungai dengan keperibadian tinggi oleh suami, salah seorang warga Afrika.
Untungnya beliau apabila suami telah berjanji untuk bermaustatin di Malaysia. Benar, setiap dari kita pasti mahukan tempat tinggal berhampiran dengan rumah ibubapa sendiri. Senang untuk menjenguk mereka, menelefon saban hari mahupun membawa mereka bercuti ke mana-mana.
Dalam buku ini beliau membawa saya terbang jauh nun ke benua Afrika sana. Ditunjukkan sambil menerangkan secara terperinci suasana dan keadaan di negara kelahiran suaminya itu. Negara yang seringkali digembar gemburkan sebagai negara tandus yang rakyatnya sentiasa kebuluran tidak benar semuanya.
Tanah subur yang dimiliki mereka boleh diusahakan dengan pelbagai tanaman yang bersesuaian. Rumah-rumah yang didirikan bukan semuanya dari tanah liat mahupun ranting pokok. Mereka mempunyai rumah yang selesa, dibina dari batu bata yang kukuh mengikut kehendak penghuninya.
Cerita yang paling meninggalkan kesan kepada saya apabila penulis menyatakan anak-anak lelaki dalam setiap keluarga mereka tidak dibenarkan tinggal sebumbung dengan ibu. Mereka (anak lelaki) akan membina rumah (seperti bilik) bersebelahan dan bersambung rumah ibu mereka. Setiap pagi sebelum memulakan sebarang pekerjaan, anak-anak lelaki ini akan ke rumah ibu memohon restu. Begitulah setiap hari tanpa jemu.
Pengalaman lain yang diceritakan juga menarik sementelah saya sendiri tidak pernah ke benua Afrika. Jadinya membaca buku yang menggunakan bahasa biasa yang santai dan mudah difahami amat berguna. Senang nak faham dan hadam.
Bagi kalian yang ingin mengetahui serba sedikit budaya, adat resam, tingkah laku serta sosio ekonomi salah satu benua Afrika, bolehlah mendapatkan buku ini.
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment