Bercakap perihal bas terkandas semasa pulang ke universiti, teringat kembali sewaktu awal aku dapat tawaran menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia. Abah aku orang yang paling risau.
Dia bukan risaukan aku tidak dapat berdikari kerana kemampuan aku menyesuaikan diri di tempat orang tidak diragui. Dia juga bukan risaukan aku sukar mendapat kawan kerana dia kenal anaknya yang tidak banyak berbual dengannya itu, sentiasa ada kawan. Apa yang merisaukan abahku adalah 'mabuk perjalanan' yang biasa aku alami setiap kali memulakan perjalanan jauh.
Aku ingat lagi kali pertama aku pulang ke rumah semasa cuti semester. Semasa menghantar aku ke stesen bas, wajah abah nampak sedikit ragu-ragu. Lantas aku bertanya, "bakpe muka aboh macam riso je?" (Kenapa muka abah nampak risau?)
"Takdo benda ah. Riso menda". (Tiada apa-apa. Nak risaukan apa)
Aku terdiam dan terus bersalam dengan abah. Tangga bas ku panjat dan terus ke kerusi aku. Baru sahaja menghenyakkan badan ke kerusi bas, abah sudah berada di sebelah aku.
Sambil berbisik, "ambik plastik wat spare. Takut Kak Chu mutoh jalang jauh". (Ambil plastik untuk simpanan. Takut Kak Chu nak muntah semasa perjalanan)
Disuakan plastik kosong dan satu plastik yang mengandungi roti, gula-gula serta minuman. Risau anaknya masuk angin agaknya. Aku tersengih sambil menyambut bungkusan plastik dari tangan abah.
Sambil mencium pipi abah, aku berbisik kembali, "aboh dok payoh bimbang ah, Kak Chu okey ni. Kekgi Kak Chu tido r." (Abah jangan bimbang, Kak Chu baik sahaja. Nanti Kak Chu tidur sekejap lagi.)
Barulah wajah abah yang kelat dan cuak itu berubah ceria dan senyum. Lega hatinya mendengar kata-kata diiringi wajah penuh keyakinan aku waktu itu. Terus abah turun ke bawah dan mengangkat tangan bila aku melambai pergi sebaik sahaja bas bergerak.
Memang betul, tak sampai 10 minit, aku terus melelapkan mata tanpa pedulikan kawan di sebelah. Itu salah satu cara aku untuk mengelakkan mabuk perjalanan.
Tahun ke dua di Utara, membuatkan aku sudah kebal dari mabuk perjalanan. Seperti pepatah lama, 'alah bisa tegal biasa'. Alhandulillah, perjalanan jauh sudah tiada menjadi masalah bagi aku. Abah pula sudah tidak ragu-ragu sewaktu menghantar aku ke stesen bas.
No comments:
Post a Comment