Saturday, 15 April 2017

PERJALANAN 25 JAM

Semasa pengajian aku di Universiti Utara Malaysia, ada sekali semasa cuti sempena Hari Raya Puasa, kami pulang menaiki bas sewa dari pihak universiti. Aku dan kawan-kawan satu kelas di kolej dulu berpakat naik bas yang sama.

Wah bukan main meriah lagi naik bas dengan kawan yang lain. Meriah betul di dalam bas. Perjalanan pulang berjalan lancar.

Setelah seminggu bercuti, kami menaiki bas yang sama untuk pulang ke universiti. Bas yang dinaiki bertolak dengan lancar sehinggalah terkandas setelah mendaki bukit yang pertama di laluan Grik itu. Pemandu bas mengambil keputusan untuk berhenti ke tepi dan bertolak kembali apabila pagi nanti.

Pagi keesokkannya, bas masih tidak bergerak. Beberapa orang dikalangan kami sudah berjalan keluar mencari air untuk mencuci muka dan gosok gigi. Aku dan kawan seramai 7 atau 8 orang (sudah lupa) berjalan untuk mencari sumber air. Punyalah gigih sehinggalah kami terjumpa warung menjual nasi.

Terus kami memohon menggunakan tandas dan bilik air. Perghhh air yang sejuk dikenakan pada wajah yang melekit tu terasa segar dan bersih. Setelah semua menyelesaikan uruaan masing-masing, kami memesan nasi goreng setiap seorang. Dengan tenang kami makan sambil sempat bersantai-santai.

Kami menyambung kembali berjalan menaiki bukit menuju ke arah bas. Sampai sahaja dihadapan bas, berpuluh-puluh pasang mata merenung tajam ke arah kumpulan kami. Semuanya berwajah kelat dan masam. Suspen betul suasana ketika itu.

Terdengar omelan beberapa ornag yang tidak berpuas hati terhadap kumpulan kami. Boleh dikatakan sejam lebih kami menganbil masa tadi, rupa-rupanya enjin bas sudah dapat dihidupkan kembali. Pemandu bas tidak berkata apa-apa melainkan meneruskan perjalanan.

Namun, perjalanan yang kami sangkakan akan terus sampai ke pintu pagar universiti sekali lagi terhenti. Enjin bas kembali mati. Ketika ini terdengar lagi suara beberapa orang bercakap.

Salah seornag dari mereka mengambil keputusan untuk membeli nasi kerana mereka sudah kelaparan. Kami yang sudah melantak nasi goreng tadi diam tanpa berkata apa-apa. Nasi yang diagihkan dan dibayar itu kami ambil tanpa banyak soal. Kami simpan untuk dimakan pada waktu yang sesuai.

Tiada apa yang boleh kami lakukan kerana di atas bukit tersebut, talian telefon tidak ada, pondok telefon juga tiada, rumah-rumah orang jauh dan di kiri kami hutan di sebelah kanan gaung dalam. Sehinggalah sebuah bas dari universiti kami yang mengambil penumpang di waktu pagi melewati kami. Jadinya peluang kami bertambah cerah.

Matahari hampir melabuhkan tirai, sebuah bas datang mengambil kami untuk ke destinasi. Perasaan kami begitu lega. Masuk sahaja ke dalam bas, masing-masing diam dan terus tertidur akibat keletihan. Sehingga jam menunjukkan ke angka 11, aku memijak kaki ke dalam bilik di asrama universiti. Terus telefon bimbit yang kehabisan bateri itu di cas dan terus menelefon ibu di rumah.

Betapa lega kakakku yang menjawab kerana bimbang apabila panggilan ke nombor telefon bimbitku tidak dijawab. Sebenarnya bukan tidak dijawab, talian telefon sememangnya tiada langsung. Mujurlah kami selamat sampai walaupun kali ini perjalanan kami selama 25 jam daei pukul 10 malam sebelumnya sehingga 11 malam keesokkanya.

Pengalaman ini sudah aku tulis di laman mukabuku beberapa tahun dulu. Selamanya aku pasti mengingati kisah ini. Gambar yang kami ambil semasa menuruni bukit untuk mencari air hilang tanpa dikesan. Hanya ingatan kawan-kawan bukti kami mengharunginya bersama.


No comments:

Post a Comment