Friday, 14 April 2017

MARKER, PAPAN PUTIH DAN DINDING

Hari ini disebabkan badan tak sihat dan batuk bertambah teruk, aku tidak dapat menghantar Zulaikha ke tadikanya. Selesai menelefon cikgunya, terus aku ke bilik bacaan untuk membaca buku. Anak berdua setia mengekori aku ke mana langkahku pergi.

Dua buah papan putih yang telah dibeli ku capai dan diberikan seorang satu bersama marker dan juga pemadam. Si adik bukan main gembira mendapat marker dan papan putih. Terus dilakarkan bentuk bulat dan beberapa garisan lurus.

15 minit telah berlalu, masing-masing tenggelam dalam aktiviti yang dipilih. Si adik yang berada di bilik bacaan bersamaku masih setia dengan garisan yang dilakarkan pelbagai rupa. Manakala si kakak di ruang tamu berseorangan.

Suasana dirasakan begitu senyap, tiada kedengaran suara si kakak menyanyi seawal tadi. Aku mulai menjenguk.

"Amboi Zulaikha, ibu bagi marker bagi whiteboard  awak conteng dinding yea. Patutlah tak bunyi suara. Bukan main." Suaraku sedikit meninggi dibelakangnya.

Terperanjat budak berusia 6 tahun yang leka menghasilkan lakaran seni di dinding yang bersih itu. Wajah ibu yang sudah bertukar menjadi naga itu hanya dipandang dengan bersahaja.

"Oh, sorry mum." Sambil jari yang masih memegang marker diloretkan sedikit lagi. Agaknya sentuhan terakhir.

"Sudah Zulaikha, give me the pen."

"Of course not, that's mine."

Amboi, bukan main lagi.

"Zulaikha, ambil whiteboard ni, atau ibu ambil dan takkan bagi lagi pada kakak".

Segera dicapai papan putih dan menyambung aktiviti melukis yang terbengkalai tadi. Dia tahu, jika ibu sudah memberi kata dua, pasti akan dikotakannya.

Maka, bersungguh-sungguh budak perempuan yang suka menconteng dinding iyu memanfaatkan papan putihnya. Ibu kembali ke bilik bacaan menyambung bacaan sambil melayan Firdaus yang masih leka membuat garisan.

Nama pun budak-budak kan. Dinding rumah tu agaknya dilihat latar yang terbentang luas untuk mereka berkarya. Wah, gitu. Bertabahlah wahai ibu wahai bapa sekalian.

No comments:

Post a Comment