Terapi Firdaus
Awal bulan Mac, 2017, anak ke dua aku iaitu Firdaus memulakan Terapi Intervensi Awal untuk keperluan pembelajarannya. Anak ke dua aku ni menghidap Autism tahap moderate. Aku sebenarnya tak reti nak terangkan secara ilmiah berkaitan tahap-tahap Autism ni. Anak pertama aku juga Autism, bertahap mild.
Berbalik pada awal cerita tadi, tengahari pada 01 Mac itu, aku menghantar Firdaus untuk mengikuti kelas pertama intervensinya. Setibanya aku di hadapan bangunan yang menempatkan pejabat dan kelas di bawah kelolaan The National Autism Society of Malaysia (NASOM), hatiku mulai berdebar-debar.
Anak lelaki aku ni sebenarnya tidak suka suasana persekitaran baru, dia akan mudah trantrum. Namun, syukur Alhamdulillah sesampai kami di tingkat 4 itu, Firdaus ternyata mempamerkan kelakuan yang bagus.
Setelah menyambut huluran tangan dari gurunya Cikgu Muzzamil, dia terus berlalu pergi. Betapa lega aku rasakan, situasi yang aku lihat tadi merupakan satu tanda positif buat anak aku. Semoga sesi pembelajarannya berlalu dengan baik sekali.
Sejam masa yang diperuntukkan telah tamat, aku memandang sambil tersenyum ke arah anak teruna aku yang baharu sahaja keluar di sebalik daun pintu ke dua kelas tersebut. Anak aku yang memegang erat tangan gurunya bukan main gembira lagi.
Gurunya memberi penjelasan ringkas mengenai sesi pembelajaran. Pada kelas pertama ini, guru memberikan beberapa aktiviti yang melibatkan penggunaan genggaman jari, kebolehannya untuk memberi fokus serta pandangan mata (eye-contact). Firdaus menunjukkan beberapa keadaan yang boleh dikatakan masih diperingkat awal dan ianya bukanlah sesuatu perkara yang perlu dibimbangkan.
Ah, lega juga aku dibuatnya. Sememangnya aku tidaklah menjangkakan perkara yang melampau. Buat permulaan, sekiranya Firdaus dapat meningkatkan padangan mata serta fokus sudah memadai bagi aku setakat ini.
Semoga anak yang banyak mengajar aku untuk terus bersabar dengan tingkahlakunya yang tidak terkawal, akan menunjukkan peningkatan demi peningkatan. Yang paling penting, usaha dia untuk mengikuti sesi intervensi adalah perkara yang teramatlah positif.
Pasti dia mampu meningkatkan prestsi diri. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment