BENGKEL PENULISAN BUKU UMUM
Bengkel yang aku hadiri pada 25 Februari ini dikendalikan oleh Tuan Zamri Mohamad yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan, editor, penulis dan sebagainya. Bengkel yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi hingga 5.30 petang itu ternyata padat dengan pelbagai tip, cara dan langkah untuk memulakan penulisan sehinggalah berjaya menerbitkan naskah lengkap.
Aku sebagai salah seorang peserta tidaklah layak untuk menyebarkan tip, cara dan langkah yang telah dipelajari. Bukan kerana aku ni kedekut sangat ilmu, tetapi sebenarnya ilmu yang aku cedok dari Tuan Zamri, Tuan Ariffudin (Senang Terbit-Self publish) dan Tuan Sinaganaga yang dijemput untuk menerangkan berkaitan dengan pengalaman dan bidang masing-masing. Ilmu yang aku terima itu, belum betul-betul 'masak' sebabnya aku belum lagi mengaplikasikan ilmu tersebut.
Mungkin hanya 10% daripada ilmu yang diberikan itu sedang aku laksanakan iaitu menulis. Yea, menulis di blog ini juga merupakan salah satu cara untuk memulakan penulisan. Mungkin hasil latihan aku menulis di blog ini, akan menajamkan fikiran, idea serta ilmu aku sehinggalah aku berjaya mencari rentak untuk menerbitkan satu naskah atau mungkin bernaskah-naskah lahir dari penulisan aku.
Tidak salah memasang angan. Cuma yang pincangnya sekiranya angan-angan itu tidak dimulakan dengan langkah yang betul.
Terdengar-dengar perkataan azimat yang selalu diulang-ulang oleh Tuan Zamri dalam bengkel tersebut, tulis... tulis... tulis. Tulis apa sahaja yang menjelma di dalam fikiran, hamburkan sahaja dilembaran kertas yang berada di hadapan mata.
Di zaman teknologi yang serba maju dan pantas kini, terlalu banyak medium di media sosial yang dapat dimanfaatkan bagi kehendak untuk memulakan penulisan. Pilih sahaja medium di facebook, blog, wattpad, instagram, tweeter (antara contoh) dan sebagainya untuk menterjemahkan gelodak fikiran kita.
Apabila kita telah memulakan penulisan, walaupun sepatah ayat. Ia merupakan langkah awal untuk kita terus berani menulis lagi. Beza seorang penulis yang berani menulis dengan pembaca adalah kata-kata, fikiran, idea, perkongsian yang dizahirkan dalam bentuk perkataan. Perkataan yang dizahirkan memainkan peranan yang penting untuk melontarkan apa yang tersembunyi dalam hati, tersorok dalam akal fikiran dan juga terimaginasikan dengan perasaan.
Pilihlah medium yang kita selesa bereksperimen dengan penulisan kita. Setiap medium yang kita gunakan mensasarkan pembaca yang tertentu. Selain kita cuba dan silap (try and error), kita juga perlu mendapatkan ilmu untuk memudahkan kita memahami selok belok dunia penulisan ini.
Ada orang Allah kurniakan bakat yang besar. Semua yang dilihat, dilalui merupakan lembaran idea yang boleh dizahirkan menjadi perkataan. Ada orang Allah kurniakan akal fikiran yang memerlukan ruang yang tersususn untuk mengilhamkan kalimah demi kalimah.
Maka, tidak salah mencari ilmu, sekiranya ilmu itu tidak digunakan buat masa sekarang, mungkin ianya berguna di masa hadapan. Semuanya telah Allah tetapkan dalam penguasaanNYA.
Tugas kita sebagai hambaNYA, perlulah berusaha, berikhtiar serta berdoa untuk memudahkan perjalanan yang telah kita susun. Apa yang penting, kita tahu hala tuju yang ingin kita capai.
Semoga aku dan kalian dapat mencapai apa yang diinginkan.
InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment