ULASAN BUKU
Tajuk Buku: Semusim di Barzakh
Penulis: Hadi Fayyadh
Penerbit: IQES Tijarah Trading
Bilangan muka surat: 299
Edisi/ Tahun Terbitan: Disember, 2016
Pertama kali membaca tajuk buku dah buat aku tersentap habis. Sekali terbaca dan menggenggam buku ini, seakan ada magnet ditelapak tangan aku yang menggagalkan aku untuk meletakkan kembali buku tersebut. Aish, macamana ni, dalam keinginan untuk mengetahui lebih lanjut isi buku ini, aku terus ke kaunter membuat bayaran.
Buku setebal 299 halaman ini, merupakan kisah sebenar yang dialami oleh penulis sendiri. Penulis berjaya menggambarkan satu persatu hentaman demi hentaman yang diterimanya sepanjang berada di alam barzakh. Hentaman demi hentaman itu terhasil dari tingkahlaku dan perbuatan buruk yang pernah dilakukannya.
Digambarkan satu persatu segala ketakutan, kebinasaan, kehancuran, kelelahan yang beliau hadapi dan harungi satu demi satu tanpa sedetik pun tersisa. Hukuman yang diterima memang digambarkan dengan jelas sehingga aku berjaya menvisual di mataku.
Aku sedikit kagum dengan penulis ini, dia berani mempamerkan segala perbuatan salah yang pernah dia lakukan dahulu. Ditulis dengan penuh rasa keinsafan. Bagi aku, tidak semua orang berani mengakui serta rela memberitahu kedegilan, kedurjanaan dan keengganan kita sebagai hamba Allah.
Tidak semua antara kita dengan tenang tanpa sangsi mem'bogel'kan diri kita untuk diketahui khalayak umum. Tidak semua orang berani merendahkan maruah dirinya dengan menyelak perbuatan jijik mereka di pandangan umum. Hanya mereka yang ingin memberi ibrah kepada orang lain sanggup berbuat demikian.
Persoalan-persoalan awal buku ini terungkap satu demi satu. Pertanyaan demi pertanyaan di awal bab yang berpusu-pusu dibenak fikiran aku terjawab jua.
Membaca buku ini menghadirkan rasa keinsafan dalam diri aku.
Sesungguhnya, hidup dan mati seorang hamba Allah itu merupakan rahsiaNYA. Dialah yang menghidupkan dan mematikan hamba di atas kekuasaanNYA. Cara bagaimana matinya seorang anak adam itu juga tidak pernah diketahui.
Aku teringat pesanan guruku. Tidak semua yang asalnya baik akan berakhir dengan baik, tak semua yang asalnya buruk, akan kembali dengan buruk. Ada orang pada awalnya dia seorang yang berakhlak mulia, berpekerti molek, warak serta alim, namun dipengakhiran hidupnya, dia hilang pedoman. Ketaqwaan dia kepada Allah tiba-tiba hilang di atas ujian yang Allah peruntukkan untuknya.
Ada orang asalnya berjudi, berzina, berbunuhan, namun di akhir hidupnya, dia memohon taubat yang sebenar-benarnya taubat. Dia memperhambakan dirinya sepenuh jiwa dan hati dengan mentauhidkan agama Allah. Dia kembali mengagungkan Allah yang telah lama dia tinggalkan. Maka dia mati dalam kemuliaan.
Kita? Aku? Semoga kita tidak berterusan hanyut dalam mencorakkan kehidupan. Hidup kita terlalu singkat untuk dipenuhi dengan perkara yang merugikan. Kita mungkin sekali sekala terleka dengan keseronokan, namun berusahalah untuk tidak terjerumus dalam kebinasaan. Semoga Allah memelihara kita dari berbuat perkara yang memalingkan kita dari sisi Allah. Nauzubillah.
Allah,
Ampunkan aku Ya Allah.
Ampunkan aku Ya Allah.
Ampunkan aku Ya Alah.
No comments:
Post a Comment