Saturday, 1 April 2017

ANAK BUKAN ALASAN

Entah mengapa aku teringat tentang suatu hal yang diperkatakan oleh kawanku. Aku bukanlah ingat satu persatu perkataan yang ditaip di dalam kumpulan mesej Telegram itu. Aku hanya ingat intipati perkara yang dihujahnya.

Dia memberitahu, kebanyakkan ibubapa senang sahaja memberi alasan disebabkan oleh anak. Seringkali alasan yang diberikan asbab si anak. Contohnya kita mempunyai temujanji dengan doktor. Waktu temujanji yang ditetapkan pada pukul 10.00 pagi tapi kita terlewat. Kegagalan tersebut memungkinkan kita memberi alasan seperti (sebagai contoh) "Maaf nurse, saya dah bersiap awal, tapi anak pula yang jadi lambatnya" atau "Payah sangat nak bersiap bila ada anak-anak kecil ni".

Kenapa ayat bagi alasan tersebut tidak patut diberikan?

Sahabat aku menjelaskan bahawa percakapan begitu mendorong kita menyalahkan anak semata-mata. Seolah-seolah segala perancangan yang diatur oleh kita iaitu ibubapanya musnah disebabkan oleh mereka. Padahal segala keperluan mereka sememangnya disediakan oleh ibubapa. Secara fitrahnya, mereka tidak mampu mengatur perancangan untuk diri sendiri apatah lagi sekiranya melibatkan orang luar.

Insaf jugalah aku bila perkara ini dibangkitkan. 

Yealah, apalah salah si kecil tu. Kasihan pula bila ingatkan balik aku juga pernah menggunakan anak sebagai alasan bila lewat menghantar anak ke kelas terapinya. 

Bila difikirkan balik, sekiranya kita kerapkali memberi alasan dengan menjadikan anak sebab asbab, sedikit sebanyak perkara tersebut mempengaruhi emosi, fikiran dan mental kita serta anak juga. Sekiranya kita selalu mengamalkan perbuatan tersebut, tidak mustahil kita langsung tidak peka lagi kesilapan siapa yang sebenarnya menyebabkan sesuatu perkara itu berlaku.

Manakala bagi pihak si anak pula, mereka sudah pasti terdengar perbualan kita bersama pihak ketiga (pihak yang mendengara alasan kita). Kita selalu beranggapan anak kecil tidak mengerti apa-apa, padahal ketika kita sedang beralasan dengan menggunakan mereka atas sebab musabab, si anak telah merakamkan percakapan kita. Hari ke hari, bulan ke bulan, tahun bertambah tahun, si anak mendengar dan merakamkan perbualan tersebut.

Sehinggalah si anak merasakan perbuatan memberi alasan melibatkan dia merupakan sesuatu yang betul, sesuatu yang normal, ianya menjadi satu kemestian serta menjadi satu kelebihan untuk pihak ke tiga atau orang lain untuk memberi ehsan. Maka hiduplah si anak dengan memori dan anggapan begitu.

Cuba kita bayangkan pula, tahun-tahun berikutnya kita dipanjangkan umur, anak pula yang menjaga kita yang telah uzur serta tidak mampu menjaga diri sendiri. Di kala mereka membawa kita ke klinik untuk rawatan, temujanji atau terapi, dialog yang pernah kita lontarkan dulu kini keluar dari mulut anak.

"Maaf doktor, kami sebenarnya dah keluar awal, tapi mak saya pula lambat bersiap"

"Payahlah doktor nak cepat bila mak berkeadaan macam ni".

Allahu...

Semoga kita tidak berbuat begini pada ibubapa kita. 

Hari ni sama-sama lah kita berubah untuk berbuat lebih baik dari semalam. Kalau semalam kita katakan anak menyebabkan kita terlewat. Jadikan hari ini sebagai hari pertama untuk kita buang tebiat tersebut. Rancanglah awal-awal setiap perkara yang hendak kita lakukan. Sekiranya kita mempunyai temujanji sebelah pagi, aturlah anak-anak tidur awal malam sebelumnya dan sediakan keperluan seawal sehari bagi memudahkan kita. 

Aku dah mula mengelak dari memberi alasan disebabkan anak. Semoga kalian juga begitu. Dan aku tabik mana-mana ibubapa yang tidak pernah 'pergunakan' anak sebagai alasan dalam hidup mereka. Memang korang power!

No comments:

Post a Comment