SERBA SEDIKIT PERIHAL SYUHADA AHMAD
Aku merupakan anak ke tiga dari dua belas orang anak kepada pasangan suami isteri. Dinamakan dengan makna yang begitu indah 'Cahaya Insan yang Mati Syahid' iaitu Noorulsyuhada. Aku berbintikan Che Ahmad dan beribnu Zaitun. Dulu semasa sekolah menengah, ada seorang ustaz memanggil aku dengan makna tersebut. Malu-malu alah pula aku sebab tak menyahut pun. Kahkahkah. Mana terbiasa orang memanggil, 'Wahai cahaya orang yang mati syahid'. Tak pernah dengar sebab tu buat bodoh sahaja ustaz panggil begitu.
Aku memulakan persekolahan secara rasmi di Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Kuala Terengganu, Terengganu. Guru paling diingati adalah guru Bahasa Melayu semasa darjah enam, Cikgu Yamani. Semasa darjah enam, boleh dikatakan kerapkali karangan aku dijadikan contoh karangan yang bagus. Kebiasaan buku latihan diagihkan pada semua murid, akan tinggal dua buku yang dipegang oleh cikgu Yamani ni. Satu contoh karangan bagus, satu contoh karangan yang kurang bagus. Selalu aku berdebar bila agihan buku tiada nama aku. Bila dikategorikan karangan yang bagus, kembang betul hati. Hahahaha. Mujur sahaja tak riak.
Selepas darjah enam, aku sambung belajar di Sekolah Menengah Sultan Ahmad. Diikuti dengan pengajian diploma di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Utara Malaysia di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Lama betul belajar tu. Bukankah ilmu untuk dituntut? Tuntutlah ilmu samada secara formal ataupun tidak, kerana setiap ilmu berguna untuk kita.
Tamat pengajian di universiti, aku bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat yang membekalkan alatulis ke pejabat-pejabat kerajaan dan juga swasta. Pelanggan paling utama adalah rangkaian pejabat Petronas yang ada di Kerteh, Terengganu. Semasa bekerja sebagai kerani inilah aku didedahkan dengan pengurusan dan dokumentasi fail-fail, cara menyusun fail invois, cara menjawab panggilan telefon dan sebagainya. Nampak macam remeh kerja kerani ni, tapi ianya penting dalam membantu syarikat mempunyai pengurusan secara sistematik dan kemas.
Tiga tahun sebagai kerani, aku beralih arah menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih selama lima bulan. Pengalaman sebagai guru memberi tamparan hebat dalam hidup aku. Betapa kalut dan letih untuk menangani tingkahlaku pelajar. Masalah displin, peningkatan taraf akademik, kerenah ibubapa yang terlampau 'menangkan' anak dan sebagainya. Walaupun kerja aku berstatus sementara sahaja, banyak perkara membuka mata aku. Selepas tu aku bertaubat tak mahu jadi guru dah.
Kemudiannya aku merantau dari negeri Terengganu yang aku cintai ke negeri Selangor. Aku bekerja sebagai Pegawai Operasi dan Admin di sebuah syarikat yang mengendalikan Program Latihan kepada pekerja syarikat. Peningkatan kerjaya dalam syarikat amat pantas berlaku. Pada tahun 2014, aku lepaskan jawatan sebagai Senior Manager, Human Resource hanya setahun menyandangnya. Aku mengikuti nasihat suami untuk menumpukan perhatian pada dua anak kami dan menjadi surirumah yang memberikan dia senyuman manis sebagai pengubat keletihan apabila pulang dari kerja. Wah, romatik pula kan.
Selain bekerja di pejabat, aku juga mempunyai sedikit pengalaman dalam dunia perniagaan. Pengalaman awal yang aku dapati semasa menyertai Kelab Usahawan Remaja (tak ingat dah nama kelab apa, yang aku ingat ada remaja ada usahawan). Pernah menyertai jualan selama seminggu semasa Karnival Usahawan Peringkat Negeri berlangsung. Reruai kelab kami menjual puyuh goreng ranggup serta beberapa minuman bergas. Berjiran pula dengan rakan dari sekolah lain yang kacak dan baik hati, lagi bersemangat aku nak menggoreng puyuh. Kahkahkah. Lawak je tu.
Pengalaman seterusnya dalam bidang ini adalah membantu rakan menjual spageti di Karnival Kerjaya di UiTM, Shah Alam. Aku ni dalam hal mempromosi di reruai boleh sahaja tersengih-sengih sambil memujuk pelajar-pelajar yang lalulalang. Tiada masalah bagi aku. Dapatlah sedikit untung dalam beberapa hari menjual. Kata rakan aku, apa yang penting adalah pengalaman berniaga dan melihat suasana di tapak jualan.
Kini, aku bergiat dalam bidang 'dropship' bagi jenama wangian hebat dan semakin terkenal iaitu Dex'andra dan juga produk balm untuk bayi dan kanak-kanak jenama Beeleaves. Pada masa yang sama juga, aku menjadi ajen kepada prosuk Susu R-Rayyan untuk keperluan susu bagi bayi mahupun seisi keluarga. Semoga bidang yang aku ceburi ini semakin mendapat permintaan tinggi dan jualan semakin bertambah dari hari ke hari.
Selain menceburi diri dalam bidang perniagaan, aku juga meminati bidang jahitan dan juga penulisan. Aku mempunyai asas dalam bidang jahitan kerana pernah mengikuti kursus selama lima bulan dalam bidang jahitan pakaian lelaki dan kusyen semasa menunggu spm 20 tahun yang lalu. (Mak aihh lama sangat ni). Manakala penulisan, aku baru sahaja berjinak-jinak dengan mengikuti Bengkel Penulisan Buku Umum dan ketika ini Penulisan Asas Blog. Walaupun umur dah banyak angka ni, aku tetap berusaha untuk menambahkan apa-apa ilmu yang bermanfaat buat aku.
Selain penulisan, aku sangat menyukai buku-buku berbentuk motivasi, kisah hidup para nabi, para sahabat baginda, kisah yang diinspirasikan dari kisah benar, kisah seram mahupun kisah 'thriller'. Semasa belajar, aku amat meminati novel-novel cinta, setelah beberapa tahun tidak mengamalkan bacaan buku, aku muak untuk membaca novel cinta. Beberapa buah novel bertemakan cinta tidak dapat ku habisi. Sudahnya hanya memenuhi rak buku yang tak berapa banyak ruang itu.
Itulah serba sedikit yang dapat aku coretkan mengenai diri aku. Selain coretan ini, matlamat utama aku mendedahkan diri di mata para pembaca blog untuk menjadikan blog ini sebagai medium penulisan aku. Berkongsi cerita semasa, kenangan silam yang tak pernah luput, serta kisah aku dan encik suami menjalani hidup bersama-sama anak syurga kami. Semoga penulisan aku di sini dapat menebarkan kesan positif, kesan yang baik, membangkitkan kerinduan pada insan yang telah tiada, menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan serta luahan perasaan sayang dan kasih aku pada anak-anak. Biarlah tulisan ini menjadi memori indah buat anak-anak serta insan yang mengenali aku.
Maka, berbloglah aku untuk kesejahteraan hidup. (Poyo je kan kan kan).
No comments:
Post a Comment