Sunday, 2 April 2017

Don't Cry, mum

Don't Cry Mum

Mempunyai anak Autisma bukanlah sesuatu yang menyenangkan sementelah aku sebagai ibu yang sering bersama ke dua anak di rumah. Maksud tidak menyenangkan ini bukanlah sesuatu yang teramat teruk atau buruk, ianya sekadar menggambarkan sesuatu yang tidak keruan dari segi emosi, mental dan spiritual aku.

Ada kalanya aku terasa sedih dan hiba melihat perilaku anak yang tidak aku fahami. Melihat dia berusaha mendapatkan sesuatu tetapi tidak aku fahami dan seringkali aku tersalah membuat pilihan. Anak pasti akan tantrum dan menangis. Mungkin menangis kecewa kerana apa yang dihajati tidak dipenuhi. Mungkin emosi sedih dia ketika itu hanyalah kecewa kerana saluran di televisyen tidak disukainya. Mungkin tangisan itu adalah tangisan marah kerana sebetulnya dia mahukan hanya perhatian dan belaian.

Dari hari ke sehari aku semakin peka dengan keperluan anak, namun dalam masa yang sama keperluan anak juga semakin bertambah. Agakan dan andaian aku sering juga tersasar. Tangisan dan amukan si anak selalu juga terjadi. 

Walaupun sudah terbiasa begini, ada harinya aku menangis bersama si anak, ada ketikanya aku memujuk lembut dan paling teruk aku memarahinya pula. Kasihan sungguh si anak aku. Sudahlah keperluannya tidak diendah, dimarahi pula.

Ada di kalangan rakan aku bertanya adakah penghidap autisma ini sememangnya tidak boleh bertutur? Sukar juga untuk aku memberikan jawapan kerana aku bukan pakar dan aku juga tidak berminat mengkaji lebih mendalam. Menyentuh perihal ini, ke dua-dua anak aku lambat bertutur. Alhamdulillah anakku, Zulaikha telah banyak mengeluarkan perkataan yang agak baik sesuai dengan perkembangan umurnya. Manakala anakku, Firdaus masih belum boleh bertutur. 

Maka komunikasi antara aku dan Firdaus terasa begitu jauh. Terapi Pertuturan yang diikuti tidak memberi hasil yang memberangsangkan, mungkin aku tidak pandai mengaplikasikan teknik yang diajar oleh Pegawai Terapi Pertuturan itu. Tidaklah aku menyalahkan pegawai tersebut. Sekadar menyalahkan diri aku sendiri.

Perkara yang paling tidak menyeronokkan apabila Firdaus melakukan kekerasan terhadap kakaknya mahupun aku sendiri. Bibik juga pernah juga menjadi mangsa atas amukannya.

Pernah aku di sepak ketika sedang berbaring di sebelah. Tidaklah aku ketahui apa yang menyebabkan dia berbuat demikian kerana sebelum kejadian itu, dia elok sahaja melompat-melompat di atas katil sambil ketawa riang. Sedar-sedar sahaja dia marah tanpa diketahui sebabnya. Oleh kerana teramat sakit, menangislah aku memohon simpati si anak.

Mendengar dan melihat tangisan aku, terus Zulaikha panik. Di pandang wajahku dengan penuh simpati. Terkeluar dari bibir kecilnya, "mum, don't cry, mum". Aku memandang muka yang comel dihadapanku itu, "mum, Bismillahirahmahnirrahim" dengan jelas dia menyambung. "Mum, sing mum sing, Bismillahirahmahnirrahim".

Nak tergelak juga aku bila Zulaikha suruh 'sing', tapi berjaya aku kawal. Sambil menyeka sisa airmata, aku memulakan bacaan Bismillah diikuti surah Al-Fatihah.

Tergambar kelegaan dan kesenangan hati di raut Zulaikha. Dia kembali tenang dan meneruskan aktiviti melompat seperti tiada apa yang berlaku.

Itulah dia. Ada kalanya Allah menguji kesabaran aku seketika dan dalam masa yang sama juga Allah belai aku dengan keletah anak yang satu lagi.

Setelah itu, apa lagi yang perlu aku rungutkan?

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

No comments:

Post a Comment