Monday, 3 April 2017

PERMATA HATI AUTISMA AKU

Siri Autism Zulaikha.

Aku mengambil keputusan untuk menceritakan serba sedikit perihal permata hati aku. Ini kerana kebanyakkan penulisan aku akan menyentuh perihal anak aku dua orang ini. Setakat tarikh ini, aku dikurniakan sepasang cahayamata yang istimewa. Istimewa di hati kami ibubapa mereka dan sudah pasti istimewa disisiNYA.

Anak pertama aku seorang budak perempuan yang sentiasa ceria, diberikan nama Zulaikha. Anak ke dua, Allah amanahkan seorang budak lelaki yang sangat manis ketika tersenyum, dinamai Firdaus si taman syurga yang indah.

Anak pertama aku telah disahkan menghidap autisma tahap pertama (mild autism). Hal ini disahkan secara klinikal oleh The National Autism Society of Malaysia (dikenali NASOM) berdasarkan pemerhatian (observation), temubicara (interview) bersama ibubapa, berasaskan jawapan (questionnaire) mengenai ciri-ciri yang ada pada anak dan juga penilaian terhadap tindak balas anak semasa aktiviti dijalankan. Firdaus juga didiagnos oleh Pakar Psikologi di NASOM.

Pada awal perkembangan Zulaikha, tidak ada keganjilan yang dilihat pada dirinya. Dia menunjukkan kenormalan seperti kanak-kanak yang lain. Dia mulai perkembangan dengan belajar meniarap, berguling, merangkak dan akhirnya berjalan. Sewaktu umurnya sudah mencapai satu tahun, dia telah berjaya menuturkan beberapa patah perkataan seperti mama, abah, ibu, ayah, bye-bye, go dan no.

Sehingga umurnya telah mencecah setahun enam bulan, aku perasan dia tidak lagi menuturkan sebarang kata. Bukan sahaja tiada perkataan baru, perkataan yang pernah dituturkan sebelum ini hilang begitu sahaja. Temu-mata (eye contact) juga sudah tiada. Halaan kamera digital dan juga telefon bimbit tidak lagi menjadi tatapannya. Ketika ini juga panggilan namanya langsung tidak dipedulikannya. Seolah-olah dia telah membina dinding di dalam dunia dia sendiri.

Hati kecil seorang ibu kian terasa kelainan. Setiap kali aku suarakan kelainan kepada adik beradik dan rakan yang lain, kebiasaan jawapan yang diterima, "tak mengapa, budak-budak lagi ini. Nanti pandailah bercakap tu". Anehnya ayat yang diucapkan oleh adik beradik dan rakan aku tidak mematikan galau dihati.

Sehinggalah umur Zulaikha hampir dua tahun, adik ipar iaitu adik suami memberikan satu video berkaitan kanak-kanak autisma dari luar negara. Selesai menonton video pendek tersebut, aku dan suami saling berbalas pandangan. Tanda-tanda dan ciri-ciri yang dicatatkan serta direkodkan sebagai penghidap autisma hampir ke semua ada pada Zulaikha. Betapa meremang bulu roma aku ketika itu.

Lantas encik suami mulai melakukan carian dan semakan berkaitan autisma. Pelbagai artikel, jurnal, video mahupun maklumat dan catatan ringkas berkaitan autisma diperolehi oleh suami. Aku sudah tidak keruan, bertalu-taluan debaran menggoncang hati seorang ibu ketika itu.

Hasil daripada maklumat yang diperolehi, aku bersetuju dengan perancangan suami untuk melakukan ujian ataupun disebut analisa/diagnos terhadap Zulaikha. Betapa berat penerimaan aku ketika itu. Perkataan autisma sangat janggal dan tidak pernah aku ketahui sebelum ini. Suami lebih bersikap positif, lebih matang dan lebih realistik dalam menangani situasi tersebut.

Ekoran dari persetujuan itu juga, aku menghubungi pihak NASOM setelah beberapa bulan aku cuba menggelak untuk berbuat demikian. Aku sangat berat hati walaupun beberapa kali aku memujuk diri. Acapkali suami memberikan kata semangat dan nasihat untuk memastikan aku faham dan menerima keadaan tersebut dengan hati yang tenang.

Sebenarnya aku pada ketika itu masih dalam mod penafian. Aku menafikan secara diam berkaitan dengan ciri-ciri autisma yang ada pada anak aku. Aku takut untuk menghadapi keputusan yang akan diperolehi nanti. Aku bimbang aku lemah dalam menghadapi kehidupan akan datang.

Syukurlah suamiku sentiasa di sisi membantu aku melihat realiti. Disedarkan aku tentang kebaikan yang akan diperolehi sekiranya anak didagnos awal. Tindakan segera perlu diambil untuk membantu anak yang pastinya tidak pernah tahu ketidak normalan yang ada dalam dirinya.

Selepas sebulan mendaftar nama Zulaikha untuk temujanji diagnos, suami memohon aku melepaskan jawatan dan menumpukan seluruh perhatian kepada anak kami. Ku turutkan permintaan suami dan bermulalah kehidupan aku sebagai surirumah sepenuhnya.

Pertengahan tahun 2014, Zulaikha telah disahkan penghidap autisma tahap pertama. Pakar Psikologi yang mewakili NASOM telah mencadangkan dua terapi penting iaitu Terapi Awal Intervensi (Early Intervation Program) dan Terapi Cara Kerja (Occupational Theraphy). Terus sahaja kami daftarkan nama Zulaikha untuk ke dua-dua program tersebut di NASOM cawangan Setia Alam.

Bulan 11 tahun 2014 itu merupakan kelas intervensi pertama Zulaikha. Di situlah permulaan dunia baru buat Zulaikha dan juga kami sebagai ibubapanya dalam usaha kami memulakan langkah membantu anak menghadapi dunianya.

Buat Zulaikha yang sentiasa memberikan kedamaian hati, semoga engkau duhai anak dapat menerima ketentuan ini seikhlasnya. Engkau istimewa dalam kasih sayang Allah.





No comments:

Post a Comment