Monday, 3 April 2017

PERMATA HATI AUTISMA AKU (2)

Siri Autisma Firdaus

Anakku Firdaus didiagnos pada usia hampir 3 tahun. Perkembangannya juga seperti kanak-kanak tipikal lain kecuali dia tidak bertutur. Bunyi yang berjaya dihasilkan hanya mem mem mem dan ayah. Aku akui perhatian aku lebih kepada Zulaikha yang telah memulakan sesi terapinya.

Kebanyakkan waktu suami yang menyedari kelainan pada Firdaus. Hendak dikatakan aku langsung tidak menyedari, bukanlah begitu. Aku rasa sekali lagi aku cuba menafikan keadaan Firdaus yang mungkin sama seperti kakaknya. Entah untuk ke berapa kali hati aku menjadi rawan. Kami usahakan juga membuat temujanji bagi diagnos Firdaus di NASOM Setia Alam.

Masih basah dalam ingatan aku ini apabila pulang dari pertemuan dengan Pakar Psikologi di NASOM, aku memandang lesu ke luar tingkap kereta. Suami di sebelah yang sedang memandu menyentuh lembut telapak tanganku. Sebaik mungkin dia memulakan bicara, "Nor sedih ke dengan keputusan diagnos Firdaus?"

Terus mengalir airmata di pipiku yang cuba ku tahan sejak awal lagi. Sambil menyeka airmata yang sentiasa menemani aku waktu itu, aku menjawab perlahan, "Sedih juga walaupun sudah dapat agak keputusannya".

Suami menarik nafas sedalamnya, diucapkan penuh diplomasi kepadaku, "Tak mengapa Nor, yang penting sekarang ini pelan tindakan yang perlu kita aturkan untuk Firdaus. Kita dah ada guideline (garis panduan) berdasarkan keperluan Zulaikha dulu. Jadinya kita ikut dahulu perancangan yang telah kita persetujui tadi".

Aku menggangguk tanda bersetuju. Sesungguhnya suami amat memainkan peranan penting dalam situasi yang kami anak beranak hadapi.

Waktu itu juga kekangan kewangan tidak dapat memenuhi perancangan kami untuk memasukkan Firdaus ke mana-mana terapi. Aktiviti yang aku lakukan bersama Firdaus adalah berdasarkan apa yang diajar oleh guru terapi Zulaikha dan juga buku yang dibeli.

Akhir tahun 2016, barulah Firdaus memulakan terapi pertamanya iaitu Terapi Cara Kerja dan juga kemudiannya didaftarkan untuk kelas Terapi Intervensi Awal. Ke dua-dua terapi ini dijalankan di NASOM Setia Alam.

Begitulah serba sedikit kisah yang aku dan suami hadapi pada awal pengetahuan kami terhadap kelainan yang ada pada anak kami. Banyak situasi dan banyak pengalaman yang kami lalui menambahkan ilmu kami sebagai ibu dan bapa.

Bukan sedikit air mata aku tumpah untuk menghadapi situasi ini. Ramai yang beranggapan apabila aku menangis bermakna aku tidak meredhai apa yang telah Allah susun di atas perjalanan hidup aku ini. Sifir aku mudah sahaja, kalau kita mendapat khabar gembira, ada kalanya kita menangis tanda kebesaran hati menerima berita tersebut. Adakah tangisan kita itu tanda kita tidak meredhai kegembiraan tersebut? Nah, ternyata tidak benar bukan?

Biarlah Allah sahaja yang menghakimi aku di sana.

Semoga Allah mengampuni kegalauan hati aku ketika menerima setiap keputusan diagnos anak-anakku dahulu. Aku yakin inilah tanda cinta yang Allah kirimkan buat aku dan suami. Allah mengamanahkan ke dua anak-anak ini untuk mengajar aku erti kesabaran, mengajar aku erti kecintaan, mengajar aku bersyukur, mengajar aku untuk terus menerus kebergantungan hanya padaNYA. Sesungguhnya tidaklah Allah menurunkan sesuatu bebanan itu tanpa keupayaan hambaNYA.

Aku beruntung mempunyai suami yang sentiasa mendorong aku berbuat kebaikan dan menyokong aku dalam setiap tindakan yang aku lakukan. Menyokong bukan bermakna mengiyakan apa yang diminta, tetapi menegur serta memberi nasihat bila aku terduduk dalam kesedihan.

Harapan aku semoga kami suami isteri saling tabah dan kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang. Kehadiran Zulaikha dan Firdaus mematangkan lagi hubungan kami sebagai ibubapa, sebagai suami isteri serta diri kami sebagai anak-menantu.

Duhai anak belahan jiwa hati ibu, kasih dan sayang kami tetap utuh buat kalian. Semoga kalian menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan sentiasa ikhlas dalam beribadat sesuai dalam keadaanmu. Ibu tetap menyayangimu, anak.



No comments:

Post a Comment