Setiap minggu selama satu jam, anak aku Firdaus mengikuti kelas Intervensi Awal secara perseorangan bersama seorang guru (one-to-one session). Kebiasaan waktu sejam itu dia akan belajar cara mengenal warna, mengenal bentuk, memadankan warna, memadankan bentuk dan beberapa asas membuat garisan.
Alhamdulillah di setiap kelas, ada peningkatan yang dia buat. Adakalanya peningkatan dari segi tumpuan pada kelas dan arahan guru. Ada kalanya peningkatan dari segi melakar dan membuat garisan.
Selesai sahaja sejam, guru pun memberi maklumbalas mengenai anak aku bagi sesi tersebut. Walaupun ada laporan harian yang disertakan dalam fail anak, laporan dari mulut guru juga penting.
Ulasan dari guru adalah lebih terperinci, dia akan menerangkan apa yang telah anak aku pelajari, tingkahlaku yang bagaimana telah anak tonjolkan hari ini serta apa yang perlu aku lakukan sebagai kerja rumah (homework) untuk anak.
Walaupun anak aku (ke dua-dua anak) sangat tidak mengikuti pembelajaran yang aku buat di rumah, namun dalam sehari aku akan pastikan anak belajar sesuatu waima memegang sebatang pensil, atau memegang sudu dengan selesa.
Waktu dahulu aku tidak pernah terfikir bahawa memegang pensil atau pen dengan betul merupakan perkara penting dalam perkembangan seorang kanak-kanak. Entah, mungkin aku tak ingat bagaimana dulu aku diajar memegang pensil, sedar-sedar aku dah pandai menulis. Mungkin aku diajar oleh kakak atau mungkin diajar oleh guru. Aku tak ingat sukar atau tidak, orang yang mengajar aku berbuat demikian.
Bila ada anak sendiri, barulah aku memahami kepentingannya. Anak sulung aku, Zulaikha dapat diajar dengan mudah. Kelebihan yang dia ada adalah dia sememangnya suka memegang pen/ pensil/ pensil warna. Walau pada awalnya dia sukar untuk membuat genggaman yang sewajarnya, lama kelamaan dia semakin berjaya.
Manakala Firdaus sedang dalam proses untuk belajar melalui beberapa aktiviti oleh guru dan ahli terapinya. Gembira juga aku dibuatnya sekiranya guru dan ahli terapi mengatakan Firdaus semakin lama semakin cekap melakar beberapa garisan yang diarahkan. Meskipun cara menggenggam marker/pensil masih tidak memuaskan, keupayaan dia membuat latihan sangat melegakan aku. Kekerapan Firdaus memasukkan marker/ pensil/ pensil warna ke dalam mulut juga berkurangan dan boleh dikatakan sudah tiada. Alhamdulillah.
Bagi membolehkan anak berkeperluan khas seperti ke dua-dua anak aku ni, ahli terapi memberi latihan menguatkan jari melalui aktiviti penyepit baju. Sebenarnya bila aku menyatakan ahli terapi, aku merujuk kepada Ahli Terapi Cara Kerja (OT-Occupational Theraphy) yang banyak melalukan aktiviti yang melibatkan sensori motor kasar dan motor halus. Manakala cikgu atau guru aku merujuk kepada tenaga pengajar bagi Program Intervasi Awal anak-anak aku.
Aku memang betul-betul kagum dengan tenaga pengajar dan ahli terapi yang mendidik anak-anak autism ini. Mereka sangat berketerampilan positif, bercakap dengan nada dan cara yang positif serta mempamerkan tahap kesabaran yang tinggi.
Semoga mereka dikurniakan hidup yang bahagia dan terus menerus dilimpahi Rahmat dan diBerkati Allah atas asbab tenaga dan keringat yang mereka hulurkan sepanjang mendidik anak-anak syurga ini.
No comments:
Post a Comment