Tuesday, 4 April 2017

KARPET MERAH HATI

Hari ini encik suami bertanyakan soalan, "Bila Nor nak basuh karpet merah tu?". Aku memandang wajahnya yang mengukir senyum kecil. Entah apa maksud disebalik senyuman itu. Mungkin sekadar menguji aku agaknya. Aku dengan penuh yakin menjawab, "Hari ini Nor selesaikan". Wah bukan main bersemangat aku.

Maka bersegeralah aku ke laman rumah dan cuba mengagak perkakasan apa yang diperlukan untuk menghampar karpet merah itu nanti. Pada fikiran logik aku ini, karpet perlu dibentangkan sebelum basuh. Bila sudah basuh dan karpet dipenuhi air yang pastinya menambah bebanan apabila mengangkatnya. Tak sanggup nak memikulnya nanti. Kalau minta abang sado yang baru keluar gym pun belum tentu diaorang dapat angkat.

Projek membasuh karpet ini sebenarnya projek yang tertangguh sekian lama. Rasanya hampir atau melebihi 2 tahun. Asalnya karpet ini setia berkhidmat untuk kami sekeluarga sehinggalah beberapa peristiwa yang telah menyebabkan karpet ini perlu digulung dan tersadai sepi di penjuru sudut pintu.

Kesnya anak aku si Firdaus selalu sahaja menuangkan susunya di atas hamparan karpet. Boleh dikatakan setiap kali dia menikmati susu, pasti sedikit sebanyak malah pernah satu botol sebanyak 240ml itu dicurahnya. Ada ketika dilepaskan 'hajat kecil' di situ. Walaupun dibasuh setiap kali dia berbuat demikian, aku masih tak berpuashati. Terasa hendak membasuh ke semua bahagian biar benar-benar bersih lagi suci. Ikutkan hati suami, mahu sahaja dibuangkan sahaja karpet tersebut.

Namun aku ni selalu ada 'penyakit' sayang nak buangkan barang. Asal elok dan 70% masih sempurna walau tidak lagi mendatangkan manfaat, aku pasti simpan. Baju merupakan barang yang banyak aku simpan. Tapi itu dahululah. Tahun 2017 ini, hampir ke semua baju yang tidak lagi dipakai, suami dermakan ke dalam tong yang sememangnya dari pusat jagaan yang telah diletakkan di hadapan Setia City Mall. Ini amat memudahkan mana-mana pihak untuk menghulurkan bantuan.

Perkara lain yang membuatkan aku bersemangat untuk membasuh karpet tersebut adalah jangkamasa yang ada bersama bibik. Ikut perancangan, bibik akan tamat tempoh bekerja akhir bulan Mei nanti. Dia sudah mengambil keputusan tidak lagi menyambung kontrak pekerjaannya.

Alasan utama dia mahu bekerja di kampung sahaja serta mahu menabur bakti kepada ibunya yang telah uzur. Tambahan pula ibu tuanya sudah hampir buta disebabkan katarak. Teringat lagi seawal tahun ini, dia memasuki ke bilik bacaan aku sambil menangis-nangis. Dikhabarkan keadaan ibunya yang hampir buta. 

Kesihatan ibunya juga terganggu. Mahu dibedah membuang katarak itu sudah tidak disanggupi oleh pakar perubatan memandangkan usia ibunya terlalu tua. Mujurlah ibunya sememangnya tinggal dan dijagai oleh adik bibik aku ini. Maka kerisauan itu tidaklah terlalu membebankan fikiran.

Lantaran itu juga, aku mengambil kesempatan yang masih bersisa bersama bibik membasuh karpet. Aturan perkakasan yang diperlukan seperti tangga yang telah dilipat dua, kerusi plastik dua buah serta tong besar yang sememangnya sudah ada di laman rumah.

 Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, karpet yang penuh kotoran itu nampak bersih selepas diberus dan dicurahkan air. Hampir selesai membasuh, tiba-tiba mentari yang galak menyinari alam dibayangi awam. Cuaca nampak mendung dan hampir kelam suasananya.

Berdebar juga melihat keadaan yang cerah tiba-tiba berputar pantas. Risau juga seandainya hujan membasahi bumi tengahari nanti. Bukan main lagi aku berdoa agar Allah kurniakan cuaca panas untuk membolehkan karpetku kering dan boleh diusung ke dalam rumah.

Syukur Alhamdulillah, cuaca bertukar cerah sampai ke petang. Maka karpet yang telah lama dibiarkan sepi tanpa dipedulikan itu nampaknya telah bersedia untuk dipijak-pijak. 

Semoga karpet merah itu tidak lagi disirami air susu dari Firdaus. Bertenanglah wahai sikarpet merah hati. Tabahlah untuk terus memberi khidmat.  


No comments:

Post a Comment