Tuesday, 4 April 2017

KEDAI BUKU

Kedai buku Book2u by karangkraf yang beroperasi di tingkat 1 bangunan Tesco Setia Alam itu dikunjungi. Niat dihati ingin mendapatkan beberapa buah buku untuk menambah koleksi peribadi. Sudah ada beberapa tajuk yang ingin dimiliki.

Di ruangan hadapan kedai tersebut telah disusun rapi beberapa buah novel yang mempunyai potongan harga yang menarik. Harga rm10 untuk 3 buah novel. Kalau waktu dahulu pasti novel bertemakan percintaan ini ku sambar tanpa berfikir panjang. Kini, aku hanya melihat sepintas lalu manalah tahu ada novel karangan penulis kegemaran aku.  Malangnya tiada karya penulisan kesukaan aku di rak tersebut.

Ku susun langkah menuju ke rak yang mempamerkan buku motivasi dan juga umum. Mata terus galak membaca dari satu tajuk satu persatu. Mata terhenti di hadapan kavier buku berwarna kuning diraja itu. Terus dicapai edisi Bahasa Melayu.

Sekali lagi mata memandang puluhan buku di rak yang sama, rak bersebelahan dan bertentangan. Pelbagai buku diambil, dibelek dan diletakkan kembali.

"Ermmm, banyak pula buku-buku yang menarik". Bicara aku sendirian.

Lebih dari 30 minit mundar mandir di dalam kedai buku tersebut, hasilnya 4 buah buku dicapai dan terus ke kaunter bagi tujuan pembayaran.

Pekerja di kaunter yang memberikan senyum manis menegur dan menawarkan kad ahli kepadaku.

"Puan, mahukah puan menjadi ahli untuk mendapatkan 10% potongan harga bagi setiap buku yang dibeli?"

Aku memandang wajah pekerja itu.

"Kad ini juga boleh digunakan di semua rangkaian kedai kami". Sambil menunjukkan banner yang mempamerkan nama kedai Book2u dan juga logo karangkraf.

"Berapa yang perlu saya bayar untuk kad ahli?" Balasku tanda berminat.

"Kad ahli hanya rm10 dan jangka hayat seumur hidup."

Wah! Agak menarik tawaran itu. "Okey, saya berminat. Apa yang perlu saya lakukan?"

"Puan isikan maklumat di dalam borang ini, terus kami rekodkan maklumat puan dan pembelian hari ini akan diberikan 10% potongan harga".

Tanpa membuang masa, borang ringkas itu diisi dan dikembalikan kepada pekerja kedai untuk tindakan seterusnya.

Wang dan kad serta buku bertukar tangan. Sambil melakar senyuman, terus aku keluar menuju ke parkir kereta. Perlahan kereta dipandu menuju ke rumah.

Sambil memegang stereng, aku mencongak buku yang masih belum dibaca. Hampir 10 buku baru yang belum dibaca. Belum campur buku lama yang tak habis baca. Buku yang menampilkan cerpen dan puisi juga menjadi pilihan aku kali ini selain dari buku perjuangan sahabat Rasulullah.

Tak boleh jadi ni, perlu habiskan semua buku yang ada. "Jangan tamak Syuhada dan selamat membaca". Bisikku sendirian.




No comments:

Post a Comment