Monday, 10 April 2017

BILA ZULAIKHA TANTRUM

Petang yang agak terik sinaran matahari itu di redah perlahan menuju ke pusat jagaan anakku. Guru yang menyambut kehadiran aku di pintu memberitahu bahawa Zulaikha amat bagus mewarna.

"Zulaikha mewarna hari ini cantik sangat. Pandai betul dia warna tadi".

Zulaikha yang berdiri di depanku hanya senyum sambil menyalami tangan gurunya. Aku pula apa lagi, terus memberi kata pujian sampaikan Zulaikha tersipu-sipu malu.

Kami berdua melangkah masuk ke dalam kereta, terus kartun Donald Duck dipasang seperti permintaan puteriku itu. Gembira sungguh apabila kartun itu ditontonnya walau entah ke berapa kali. Sampai di rumah, kartun tersebut masih belum habis tayangannya. Aku terus matikan enjin sebagaimana biasa ku lakukan.

Mood Zulaikha terus berubah, tidak seperti hari-hari lain. Bukan sahaja dia enggan keluar dari kereta, malah tangisannya bukan main lebat lagi.

Pujukan aku juga tidak diendahnya. Lantas aku membiarkan dia keseorangan di dalam kereta, manakala aku terus masuk rumah. Sambil menghentak-hentakkan kaki dan airmata berjuraian, dia masuk ke rumah dan terus memukul tanganku.

Aku dakap tubuhnya agar dia tenang sedikit. Namun kali ini tidak berjaya, tangisan bersama gulingan kiri ke kanan pula. Aku memahami bahasa tubuh yang dipamerkan, sekiranya tangisan disertai tantrum yang bukan kebiasaan Zulaikha, pasti dia mengantuk.

Jarang dia berkelakuan begitu. Terus aku ke dapur, mengisi air sirap ke dalam botol minumannya. Diberikan kepadanya dan berbaring sebelahnya. Tidak sampai 5 minit, tangan yang memegang botol minuman itu terus lembik dan jatuh. Rupanya-rupanya dah jadi 'sleepy beauty' dah anak aku.

Begitulah karenah anak. Kadangkala isu yang dimainkan tidaklah besar mana, bila meragam serba tak kena, rupa-rupanya hanya bantal yang dipintanya.

No comments:

Post a Comment