Hari ini dalam perancangan hendak ke bank RHB untuk kiriman wang bibik ke akaun abangnya. Jumaat lepas rancangan yang sama tidak berjaya dilakukan gara-gara 'server down'.
Sesudah aku memarkirkan kereta di kawasan yang disediakan, dengan penuh yakin aku melangkah menuju ke bank. Hanya beberapa langkah, seorang perempuan berbangsa China menyapaku.
Entah apa yang diperkatakan olehnya, tidaklah aku memahami sepenuhnya. Hanya faham dia memohon derma dengan memberi aku pilihan. Sumbangan derma bernilai RM30 akan dapat pen yang mempunyai sarung berkepala kucing dan RM20 akan dapat pengikat rambut.
Cuaca agak terik ketika itu menyebabkan aku terus menderma sebanyak RM30 sebab rasanya pengikat rambut tersebut agak hodoh. Not RM50 dihulurkan, lalu aku menunggu baki wang dipulangkan. Namun dengan pantas perempuan itu memohon aku menderma untuk abangnya yang bisu. Tawaran nilai dengan barangan seperti tadi. Aku terus bagitahu nilai RM20 untuk menggenapkan not RM50 tadi. Tak payah hendak tambah wang lagi.
Terus aku berlalu menuju ke destinasi yang sebenarnya. Masuk sahaja ke ruang bank yang berhawa dingin itu, barulah sel-sel otak terus berhubung. Sah! Aku dah tertipu beb. Tak pasal-pasal aku secara rela dan ikhlas menderma RM50 tanpa banyak soal. Padahal ini bukanlah kelaziman aku memandangkan wang yang diberikan suami sudah ditetapkan keperluannya. Kalau aku hendak menderma pun, belum pernah lagi sebanyak itu. Kata orang, dermalah secara ikhlas setulus hati. Sekarang ini tak pasti samada aku ikhlas atau tidak tadi.
Malas membenakkan fikiran, buku nota penulisan yang dibawa terus ku buka. Beberap patah perkataan meluncur laju dari tarian jari jemariku. Idea terus datang mencurah-curah bagaikan air yang mengalir. Syukur, kali ini aku tidak termenung panjang memikirkan perkataan apa yang hendak ditulis.
Leka dengan pen dan kertas, nombor giliran telah tertera di skrin. Terus aku ke kaunter menyudahkan urusan yang hendak dibuat. Selesai urusan, terus laluan yang sama ku jejaki untuk sampai ke kereta. Kelibat adik dan abang tadi sudah tiada. Mungkin sudah pulang atau mencari lokasi lain untuk mencuba nasib.
Di dalam kereta, otak aku kembali memikirkan hal derma tadi. Mungkin idea dan ilham yang aku perolehi semasa menulis tadi adalah hadian oleh Allah atas derma 'secara tak rela' yang telah ku berikan. Mungkin benar mereka benar-benar dalam kesempitan dan abangnya juga seperti diperkatakan. Mungkin dia dan abangnya yang bisu itu mendoakan kesejahteraan aku. Semuanya mungkin. Rahsia Allah tak akan kita ketahui.
Termanggu aku seketika. Benarlah, amat penting kita bersangka baik kepada peminta sedekah. Seandainya mereka menipu, itu dosa mereka dengan Pencipta. Balasan perbuatan itu pasti Allah telah susun. Kita yang ada sedikit kemampuan, hulurlah sedikit untuk membantu mereka. Semoga Allah membalasi perbuatan yang baik yang kita kerjakan. Tidak di dunia, pasti di sana.
No comments:
Post a Comment