Lewat petang tadi aku menyiapkan masakan kari ikan bawal yang dijanjikan pada Firdaus. Sementara suami membaiki pili air di luar rumah dan bibik baru selesai membersihkan ikan dan ayam yang baru dibeli.
Kelaziman setiap kali aku memasak, Firdaus akan menolak kerusi di meja makan ke dapur. Tujuannya untuk melihat langkah demi langkah bahan yang diletakkan ke dalam periuk mahupun kuali. Desiran halus bunyi bawang yang ditumis membuatkan dia lebih teruja. Diperhatikan setiap pergerakan termasuk semasa aku mengecilkan api.
Apabila tiba santan dituang, tersengih-sengih dia menampakkan lesung pipit di pipi kanannya. Entah mengapa semenjak bulan Mac yang lepas, dia hanya berselera sekiranya ada hidangan bersantan. Jika tiada, kemungkinan lauk yang dimasak pada hari itu tidak dijamahnya.
Manakala si kakak pula sudah hampir minggu ke 4 kembali memilih makan. Hampir setiap hari dia menolak makanan yang diberikan padanya. Setakat entri ini ditulis, menu yang tidak pernah ditolak ke dua-dua anak aku adalah sup tulang. Memang berselera sungguh mereka menikmati sup bersama nasi. Ada juga Zulaikha hanya menikmati isi daging yang ada di tulang tanpa dimakannya nasi.
Bila berhadapan dengan situasi ini, hidangan dan menu akan diselang selikan dengan bihun sup, nasi goreng kampung, mee goreng basah dan juga laksa Johor. Tapi yea lah, nak buat laksa tu tak sangat timbul kerajinan.
Penyediaan hidangan dan masakan untuk Firdaus tidak terlalu sukar kerana dia sememangnya sukakan nasi. Sekiranya lauk yang dimasak tidak menerbitkan rasa selera, boleh digantikan hanya dengan sebiji telur goreng.
Air minuman pula hanya air sirap tawar atau sekali sekala minuman isotonik 100 plus edge. Air masak atau air putih juga diminum tetapi tidak sebanyak air sirap. Manakala Firdaus ada tambahan susu soya Isomil.
Itulah rutin pemakanan yang biasanya dilalui oleh anak-anakku dan juga setiap orang. Sebolehnya setiap ibubapa mahu memastikan anak mereka diberikan pemakanan yang sihat lagi berkhasiat. Semoga mereka tumbuh membesar dalam keadaan sihat dan ceria.
No comments:
Post a Comment