Sunday, 9 April 2017

SANTAN KOTAK WARNA KUNING

Tengahari itu sepasang suami dan isteri ke sebuah restoran masakan Minang yang tidak berapa jauh dari rumah mereka. Hidangan ayam penyet dipesan oleh isteri, manakala suaminya mengemari hidangan nasi goreng ayam.

Selesai menikmati makanan, pasangan itu pulang ke rumah untuk menunaikan solat. Usai solat, dibawa anak berdua ke pasaraya untuk membeli keperluan barang basah. Anak perempuan mereka yang sangat gemar menyentuh pelbagai ikan yang dipamerkan begitu teruja.

Anak lelaki mereka pula diletakkan di dalam troli tanpa dibenarkan bebas berjalan. Sekiranya ada mata memandang keadaan anaknya, tidak mustahil mereka kehairanan dan tertanya mengapa anak yang normal itu hanya dibiarkan dalam troli. Sudah besar panjang, takkan masih diletakkan di situ.

Mujurlah pasangan itu tidak pernah menghiraukan pandangan mahupun jelingan mata orang yang memandang. Mereka kenal sungguh ķeadaan dan tingkahlaku anak mereka.

Mereka tahu sekiranya anak lelaki yang bernama Firdaus itu dibiarkan bebas menerokai pasaraya tersebut, pasti akan ada adegan kejar mengejar, pintas memintas dengan gelak ketawa dari si anak. Itu tidak mengapa lagi, sekiranya anak itu hilang disebalik rak-rak yang mempamerkan jualan atau hilang di dalam stor tanpa diketahui oleh mereka, bagaimanakah pula?

"Ah, persetankan apa yang orang fikirkan, kita lakukan sedaya mampu kita sahaja" ucap siisteri sambil dipersetujui oleh suaminya.

Selesai mengambil beberapa keperluan di tingkat atas, mereka sekeluarga turun ke bawah untuk membayar. Anak yang tenang di dalam troli tadi tiba-tiba meronta-ronta ingin keluar. Si suami yang mengendalikan troli tersebut tidak menghiraukan perlakuan anaknya. Terus sahaja kaunter bayaran ditujui.

Setibanya di kaunter, anak teruna yang tidak lagi betah berjaya meloloskan diri. Terus dipimpin tangan ayahnya menuju ke arah sebuah rak. Isteri yang sedang memunggah barang untuk diimbas oleh mesin pengimbas tidak menghiraukan anak beranak tersebut.

Tiba barang terakhir dipegang oleh pekerja pasaraya, si anak datang mengelek dua kotak berwarna kuning. Ibu yang melihatnya terus ketawa. Dia tahu sebenarnya keinginan si anak adalah maggie perisa kari yang sememangnya banyak dipamerkan di tingkat atas yang dilalui suami dan Firdaus tadi. Dia pasti itu yang dihajati oleh anaknya.

"Takpe Firdaus, tak dapat maggie, santan kotak kuning ni ibu masak kari ikan bawal malam ni yea".

Firdaus memandang wajah ibunya dengan wajah redha.

No comments:

Post a Comment