Saturday, 8 April 2017

TAK SEMUA SAYA MAKAN

Sebenarnya situasi anak-anak berselera makan dan ada kalanya tidak agak lumrah bagi kami sekeluarga. Ianya telah menjadi rutin dalam kehidupan seharian kami.

Ada ketika anak-anak terlalu memilih makanan terutamanya Zulaikha. Istilah yang biasa digunakan adalah 'picky eater'. Agak sukar menentukan makanan mana yang akan memenuhi seleranya.

Firdaus pula tidaklah sangat memilih makanan. Dia sukakan nasi berlaukkan sedikit kuah dan ikan atau ayam.

Kami iaitu aku dan suami mengatur diet 'gluten and casien free' untuk mereka. Kami menghadkan segala jenis hidangan yang berasaskan tepung gandum serta bahan tenusu kepada anak-anak terutamanya Firdaus. Ini kerana ke dua-dua bahan tersebut memberi kesan dari segi fizikal dan tindakan emosional anak.

Zulaikha tidak menunjukkan perubahan yang drastik apabila memakan hidangan berasaskan dua bahan itu. Kalau ada perubahan pun, hanya kelihatan dia tersangat aktif dan sukar duduk diam, namun ianya masih boleh dikawal.

Berbeza sekali dengan keadaan Firdaus. Dia terus menampakkan beberapa gejala yang mengganggu sistem pertahanan tubuhnya dibahagian alat sulit. Beberapa biji kecil seperti reaksi akibat kegatalan muncul dan duburnya juga seperti kemerahan, juga akibat kegatalan. Kerapkali dia akan berbogel kerana tidak selesa dengan lampir atau pakaian yang terkena pada ke dua-dua alat sulitnya. Contoh makanan yang akan memberi kesan cepat terhadap perkara inilah adalah roti.

Manala biskut walau dalam kuantiti sedikit akan menyebabkan dia menjadi terlalu aktif. Apabila berlaku keadaan ini, akan kedengaran ketawanya, dia akan mengibar-kibarkan tangannya, membuka dan gengam jari jemarinya, melompat tanpa henti atau menangis secara tiba-tiba.

Pada awal mengalami situasi ini, kami sungguh bingung dan terpinga melihat keadaan Firdaus. Sehinggalah keesokan hari, suami menemui beberapa pengalaman ibubapa yang mempunyai anak autism. Dari pengalaman merekalah kami temui keperluan diet gluten free dan casien free ini.

Bukan senang untuk kami menukar menu harian yang kebanyakkan berasaskan tepung gandum. Demi anak yang dikasihi, kami tidak lagi membeli roti. Sekiranya beli, kami akan pastikan Firdaus tidak memakannya.

Kasihan sungguh bila melihat keinginan dia, tapi untuk kebaikkannya juga, akan terpaksa melakukan. Banyak perubahan yang baik ditunjukkan oleh Firdaus kesan pengamalan diet ini.

Semoga apa yang kami lakukan buatmu wahai anak yang kami cintai, memberi manfaat kepadamu, nak. Sayang kami tidak berbelah bahagi.

No comments:

Post a Comment