Saturday, 8 April 2017

SEDAPNYA NASI ARAB

Lewat petang tadi suami pulang  berbelanja di pasar malam untuk keperluan bahan basah selama seminggu. Ini antara rutin mingguan yang dilakukan oleh beliau. Pulang dari sana, suami singgah ke restoran nasi arab yang berdekatan dengan rumah.

Nasi arab yang berwarna kekuningan dan sedikit oren itu selalunya menjadi hidangan yang digemari oleh anak dan juga kami berdua.

Minggu lepas juga hidangan nasi arab ini menduduki meja makan. Gembira sungguh ke dua anak melihat nasi berwarna itu. Hampir 3 kali Firdaus meminta disuapkan nasi arab tersebut. Zulaikha cukup hanya satu hidangan sahaja.

Teringat akan kegembiraan Firdaus menikmati nasi tersebut, maka hari ini suami begitu yakin sejarah minggu lepas akan berulang lagi. Tinggi harapannya agar kali ini kuantiti yang dinikmati lebih banyak atau sekurang-kurangnya menyamai minggu lepas.

Setelah selesai solat maghrib, semua hidangan nasi arab telah ku susun di atas meja. Zulaikha terlebih dahulu menikmatinya seorang diri semasa maghrib tadi. Seperti kelaziman, dia berjaya menghabiskan satu pinggan yang bersamaan 3 senduk.

Sewaktu suapan pertama, aku memanggil Firdaus untuk turut sama di meja makan. Perlahan dia berjalan ke arah meja melewati dengan pandang ekor matanya. Langkahnya terhenti dan berdiri di sisi aku. Ku suakan satu suapan untuknya. Hanya sengihan dibalas tanpa membuka mulut.

Suami memandang situasi itu terus bersuara, "Aik, tak nak ke nasi arab ni? Minggu lepas bukan main lagi Firdaus makan".

"Aah la, atau dia tak perasan nasi ni" balasku.

Kali ke dua 'kunjungan', barulah anak teruna itu membuka mulut dan mengunyah perlahan. Cara kunyahan menunjukkan dia tidak berminat untuk menikmati sepenuhnya. Akhirnya hanya 4 suapan sahaja berjaya dihabisi.

Baki nasi arab yang belum terusik disimpan dalam peti ais untuk dipanaskan kembali esok. Semoga Firdaus yang sukakan nasi berjaya menghabiskannya.

Mungkin malam ini dia terlalu kenyang atau tiba-tiba sahaja tidak mempunyai selera. Ibunya buat masa sekarang selalu sahaja berselera.


No comments:

Post a Comment