Friday, 7 April 2017

PULANG KE KAMPUNG

Siang tadi adik lelakiku yang sedang mengerjakan umrah bersama bonda dan ayahanda menghantar beberapa keping gambar di sana. Wah, seronok menatap wajah mereka yang nampak tenang dan gembira.

Kami adik beradik lain yang masih belum ke sana begitu teruja dan hati meronta-ronta untuk berbuat demikian. Semoga kami berkesempatan menunaikan umrah dan haji sebelum masing-masing meninggal dunia.

Teringat seminggu sebelum mereka bertiga dijadualkan berlepas, aku dan keluarga termasuk bibik pulang ke kampung. Hanya 4 hari di sana, 2 hari perjalanan dan 2 haru bersama keluarga. Sudah memadai bagi aku.

Kali ini kepulangan kami ke kampung menaiki kereta yang dipinjam dari seorang sahabat. Sebenarnya sahabat aku ni yang aku panggil kak Dayah melebihi sahabat, lebih dekat sebagai seorang kakak bagiku. Banyak benar aku terhutang budi dengan dia sekeluarga. Semoga keberkatan dan keredhaan Allah sentiasa memayungi mereka sekeluarga.

Perjalanan yang melalui Lebuhraya Pantai Timur ke 2 (LPT 2) memakan masa selama 8 jam. Sememangnya itulah waktu yang biasa kami habiskan sepanjang perjalanan termasuk berhenti di RnR untuk solat dan makan. Suami tidak akan tergesa-gesa sepanjang perjalanan. Slogan yang selalu diucapnya adalah "kita balik santai-santai sahaja."

Kami hanya berhenti di RnR Gambang untuk menunaikan solat serta makan dan minum. Makanan yang telah siap dibawa dari rumah menjimatkan lagi waktu kami.

Selesai makan, Zulaikha dengan wajah simpati menyatakan dia telah 'popo', istilah 'hajat besar'. Maka aku menemaninya di tandas. Selesai menguruskan dia, terus sahaja dia ke sinki menyabun dan lap tangannya.

Selesai semuanya, ku tanyakan dia arah kereta yang diparkir. Terkejut juga bila dia dengan berani melangkah hingga separuh perjalanan. Dia terhenti disebabkan jarak parkir dari tandas tadi agak jauh dan hampir penuh. Mungkin dia keliru untuk menentukan arah. Bagi aku, separuh jalan yang diingatinya sudah cukup bagus.

Setelah makan dan solat, kami meneruskan perjalanan. Kereta yang dipandu suami bergerak dalam kelajuan yang ditetapkan. Melepasi tol Kuala Berang, suami meminta aku memandu memandangkan kantuknya sudah tidak dapat ditahan lagi.

Inilah kali pertama suami meminta berbuat demikian. Sebelum ini sekiranya dia mengantuk, kami akan berhenti di mana RnR untuk membolehkan dia melelapkan mata selama 15-30 minit. Aku memandu dengan penuh yakin dan hati-hati. Alhamdulillah selamat sampai ke destinasi dengan lancar.


No comments:

Post a Comment