Friday, 7 April 2017

TAK SEMUA RANCANGAN MENJADI

Perancangan aku hari ini hendak selesaikan urusan kiriman wang bibik ke akaun abangnya di Indonesia. Pukul 12.30 tadi aku cepat-cepat masuk ke dalam kereta semasa Firdaus mandi. Tidak mahu dia mengikuti bersama.

Perjalanan ke tadika hanya memakan masa 15 minit (sekiranya lampu isyarat merah). Bila tiba di perkarangan tadika, masih terlalu awal untuknya. Maka aku membiarkan dia menonton siri kartun Donald Duck di skrin kereta. Tepat pukul 1.20, aku terus memimpin tangan Zulaikha memasuki tadika. Alhamdulillah, puteri kesayangan aku berwajah tenang dan agak positif hari ini.

Tanpa melengahkan masa, aku terus memasuki perut kereta dan memandu ke arah Bank RHB yang berdekatan. Dengan penuh yakin, aku terus mengisi borang yang berkaitan dengan urusan yang hendak dibuat. Selesai mengambil nombor giliran, aku terus mengeluarkan wang di mesin atm bersebelahan.

Kunjungan pelanggan ke bank pada hari ini juga tidaklah begitu ramai. Sementara menunggu, aku meneruskan penulisan untuk memenuhi blog aku nanti. Tidak sampai satu mukasurat penuh buku nota ku coret, nombor giliran tertera di skrin elektonik.

Terus ku melangkah menghampiri kaunter bernombor 4. Seukir senyuman dihadiahkan kepada pegawai bertugas. Sekadar menanyakan khabar pada hari ini, aku terus menghulurkan borang yang lengkap diisi.

Hampa betul rasanya bila puan di kaunter 4 memaklumkan bahawa kiriman wang ke luar negara tidak dapat diuruskan hari ini.

"Maaf puan, hari ini sistem kami 'server down' sejak pagi bagi urusan ini. Urusan lain tiada masalah".

"La, ye ke? Hari ini sahaja atau dari semalam?" Aku cuba berbasi.

"Hari ini sahaja puan. Nanti puan cuba datang hari isnin. Harap maaf yea puan."

Dengan wajah hampir kelat, aku menjawab, "tak mengapa puan."

Aku keluar menuju ke tempat parkir kereta. Terlihat pula restoran KFC di sebelah. Langkahku dihayun ke sana, niat mahu membeli ayam barang seketul dua. Teringat pula air teh lemon yang sejuk bakal membasahi tekakku di hari panas begini. Sedap juga tu!

Namun, aku hampa buat kali ke dua. Restoran yang beroperasi 24 jam itu sedang dalam proses pengubahsuaian. Patutlah agak lenggang parkir kereta di sini.

Aku kembali ke kereta dengan memandu perlahan menuju ke rumah. Di rumah, bihun tomyam yang dibeli suami malam tadi dipanaskan kembali. Oh! Sedap sungguh tomyam ini, duka lara kerana perancangan tadi gagal berjaya ditenangkan oleh semangkuk bihun berkuahkan tomyam.

Begitulah kehidupan. Ada kala kita merancang penuh teliti tetapi Allah selitkan sedikit kehampaan agar kita sentiasa bergantung kepadaNYA. Pada ketika terasa sukar, Allah titipkan kelazatan yang benar-benar memberi nikmat kepada kita hambaNYA.

Syukur Alhamdulillah.

Sesungguhnya Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, dikurniakan deria rasa untuk aku benar-benar menikmati makanan ini. Tanpa rasa, mungkin aku hanya kenyang semata-mata sahaja.

Terima kasih Ya Allah.

No comments:

Post a Comment