Thursday, 6 April 2017

CAKAR AYAM SEORANG DOKTOR

ULASAN BUKU

Tajuk buku: Cakar ayam seorang doktor
Penerbit: Kata-Pilar
Penulis: Dr. Sharif Ahmad, Dr. Fahd Razy, Dr. Onn Azli, Dr. Kamarul Ariffin & Jazlina Syahrul
ISBN: 978-967-13913-7-2
Edisi/ Tahun Terbitan: Mei, 2016
Bilangan mukasurat: 215

Buku ini merupakan catatan penulis (doktor dan pakar pemakanan) bersama pesakitnya sehari-hari. Kot labuh berwarna putih menyimpan cerita yang melakarkan pelbagai rasa dan perasaan.

Ada catatan yang melucukan, ada catatan yang menghibakan dan ada catatan yang menginsafkan. Segala rasa dikisar seindahnya untuk mereka yang mahu memahaminya.

Buku ini diolah dan diadun dalam Bahasa Melayu yang senang difahami. Kalian jangan risau, tiada istilah perubatan yang berbau saintifik, bombastik, analitik atau apa sahaja yang juling biji mata bila membacanya.

Agaknya sudah menjadi lumrah seorang doktor, pasti ada tip dan panduan kesihatan untuk disebarluaskan. Memang kena apabila buku ini diletakkan kolum Lubb Dupp dan Klinik Mini. Kolum Lubb Dupp ini merupakan info dan maklumat ringkas berkaitan kesihatan dan isu semasa (kesihatan). Manakala Klinik Mini menerangkan tip-tip dan panduan kesihatan.

Catatan yang agak tersentuh (kalau orang Terengganu kata bobok) adalah catatan di mukasurat 3 iaitu catatan pertama. "Berbahagialah para ibu yang punyai anak istimewa, anak yang suci dan tiada dosa. Tentu sekali tempatnya di syurga". Betapa perancangan Allah mendahului akal fikiran manusia. Pandanglah anak syurga itu sebagai tanda warkah cinta dari Allah. Istimewanya sang anak apabila telah diberi jaminan syurga indah buatnya.

Catatan ringkas yang membuatkan aku ketawa berdekah-dekah di mukasurat 48. Mari berbahasa Terengganu. Perbualan doktor dengan seorang makcik.
Doktor: Makcik, masalah apa hari ini?
Makcik: Kaki mokcik ni. Dok tahu bakpe. Sebulan dua ni sokmo jadi settok k'arung
Kahkahkah... korang tahu tak sakit apa tu? Aku orang Terengganu tahulah maknanya. Settok k'arung bermaksud kejang atau cramp.

Catatan yang lain dari yang lain di mukasurat 143; kisah penumpang tanpa izin. Kisah ini dinyatakan dialami sendiri oleh doktor tersebut. Kalaulah peristiwa yang terjadi itu berlaku pada aku, menjerit-jerit agaknya sambil lari bertempiaran.

Catatan-catatan lain juga terisi dengan pengalaman dan peristiwa yang berlaku. Pendek kata, aku benar-benar menyukai semua catatan dalam buku ini.

Buku ini terjual di beberapa buah kedai yang ternama. Boleh juga dapatkan dengan ejen berdaftar dan juga bertanyakan penulis sendiri sekiranya kalian ingin memilikinya.

No comments:

Post a Comment