Thursday, 6 April 2017

TERAPI CINTA ANAK-3

Siri Autisma Firdaus

Minggu lepas guru intervensi awal memohon pertukaran kelas dari hari Rabu ditukar pada hari Khamis. Waktu sesi tidak berubah dari pukul 1.30 sehingga 2.30 petang. Kebetulan pula kelas terapi cara kerja yang tidak dihadiri pada hari Selasa lepas diganti pada hari ini antara pukul 3.30-4.30 petang.

Hampir 6 minggu Firdaus mengalami perubahan waktu tidur. Seawal pukul 8.00 malam, atau kadangkala 7.30 malam dia tidur dan akan bangun pada pukul 9.30 atau 10.00 malam. Walau ditegah atau dinasihatkan secara berhemah, dia akan tidur juga. Yealah, aku yang dewasa ini pun kalau dah mengantuk memang tak boleh buat apa, tidurlah jawapnya.

Bila dah bangun pada waktu tersebut, pasti tidur untuk kali ke dua menjadi sukar. Kebiasaannya dia akan sambung tidur pada pukul 4.30 atau 5.00 pagi. Ada juga hari yang dia kembali tidur pada pukul 2.30 pagi. Sudahnya waktu bangun juga akan berubah.

Sekitar pukul 11.00 atau 11.30 pagi barulah dia terjaga. Inilah sebab utama setiap hari Selasa, acapkali dia tidak hadir ke kelas terapi cara kerja yang sememangnya dijadualkan pada pukul 11.00 pagi. Mujurlah pegawai terapinya boleh menggantikan slot yang gagal dihadiri.

Namun hari ini, dia bangun seawal 8.30 pagi. Sekitar jam 1.00 petang, dia telah menunjukkan tanda mengantuk. Matanya dah merah, sesekali dia menguap dan cepat sangat meradang.

Sampai di kelas, nampak sahaja kelibat gurunya, terus menjadi aktif. Rupa-rupanya keaktifan dia tidak disalurkan dalam keadaan yang sebaiknya. Hari ini dia langsung tidak menunjukkan minat apatah lagi fokus dalam sesi pembelajaran. Siap ada adegan menendang pintu kelasnya.

Aduhai anak! Harap-harap guru itu tidak terperanjat.

Tamat sesi pembelajaran, cikgu Muzammil memberi laporan yang sudah dapat dijangka.

"Firdaus hari ini tidak dapat fokus dengan baik. Dia asyik pegang tangan saya untuk bukakan pintu". Tersengih juga aku mendengarnya.

"Tadi dengar macam dia tendang pintu, kenapa yea cikgu?"

"Dia marah bila saya pegang jarinya tunjuk bentuk muka. Pegang hidung sebut nose pun dia tak nak." Sambung cikgu.

"Maaf yea Puan, tak banyak dia belajar hari ini".

"Tak mengapa cikgu, bila dia sudah begitu, memang susah nak buat apa. Saya faham". Jujur aku menjawabb agar guru itu tidak terlalu terkilan.

Tangan kecil milik Firdaus sudah berada di dalam genggaman aku. Ku bawa pergi ke arah kereta dan pulang ke rumah. Masa yang bersisa diisi dengan menunaikan solat zohor dan Firdaus leka menghisap susunya. Jam menunjukkan 3.15 petang, terus aku bawakan anak lelakiku ke kelas terapi. Entah apa pula kelakuan dia di sana nanti.

Di hadapan kelas tingkat 3 itu, kami disambut oleh Cikgu Azmah. Apabila terpandang wajah pegawai terapinya itu, dia terus tersenyum manis. Huluran tangan disambut dengan penuh rela.

Semoga terapi kali ini berjalan dengan baik dan lancar. Aura positif tadi membawa petanda yang positif juga.


No comments:

Post a Comment