Masa aku bersekolah rendah dahulu, aku dan juga dua orang kakak tinggal bersama nenek dan juga tiga orang bapa saudara kami. Abah aku ketika itu kerapkali ditugaskan ke luar daerah. Jadinya untuk tidak merumitkan proses penukaran sekolah, kami bertiga tinggal bersama-sama nenek.
Nenek yang dipanggil Tok Jah adalah ibu sebelah ma (ibu aku) dan Ayah Ngah, Ayah De dan Ayah Su. Antara ke tiga-tiga orang bapa saudara aku ini, Ayah De lah yang paling tegas dalam mendidik kami. Ayah Ngah jarang bersama kami, manakala Ayah Su yang jarak umurnya hanya 5 tahun tua dari aku. Kiranya satu kepala dengan kami adik beradik.
Sebut zaman sekolah rendah ni, perangai pun memang kebudak-budakan jawabnya. Nak kata nakal tu tidaklah kategori nakal sangat, sekadar culas mendengar kata nenek bila dan ralit bermain. Biasalah bidak perempuan, nakal yang biasa-biasa sahaja kata orang.
Nak diceritakan, belakang rumah Tok Jah ni ada padang yang dipenuhi lalang. Tok cakap asalnya tanah sebidang sawah, tetapi dah tidak diusahakan. Jadinya tanah dibelakangnya sudah dijadikan tapak rumah. Sekarang ini sememangnya telah ditambak sepenuhnya.
Padang yang dipenuhi lalang itu menjadi tempat permainan kami bersama Ayah Su dan sepupu sepapat aku. Aku berani turun bermain sekiranya lalang telah ditebas, kalau tidak aku tak berani. Tubuh akan miang dan tercalar terkena lalang-lalang yang panjang itu.
Ada satu ketika, aku tidak mengikuti permainan 'geng' kami itu. Entahlah lupa pula kenapa aku tak sertai. Hari hampir senja, aku selesai membersihkan dan mempersiapkan diri. Terjenguk di beranda menunggu ke dua kakakku pulang. Nenek sudah beberapa kali memanggil nama mereka. Kali ke empat, Ayah De pula yang melaung memanggil mereka pulang. Masih tiada reaksi dari geng aku tu.
Nenek dan Ayah De menunggu di anak tangga yang lamannya menempatkan sebuah telaga, dapur kayu dan sebuah bilik air kecil. Di laman inilah kami mandi dan juga membasuh baju.
Laman ini dipisahkan oleh atap zink yang menghubungkan terus ke jalan utama kampung kami ini. Boleh dikatakan atap zink yang dibina oleh Ayah Ngah ini sebagai dinding yang menghalang pandangan luar menembusi bilik air kami.
Hari semakin gelap, kelihatan dua pasang kaki melangkah masuk ke ruangan bilik air. Terus dicekup dua pasang tangan milik kakakku oleh Ayah De dan Tok. Diheretnya ke dua kakak aku ke tepi sebuah baldi yang sudah dipenuhi air. Ditimba berkali-kali air lalu dicurahkan ke atas kepala ke duanya. Tercungap-cungap dan terkapai-kapai mereka memohon nafas dan nyawa. Hampir lemas dibuatnya.
Aku yang menyaksikan adegan yang 'tragis' itu terus menangis. Takut kehilangan ke dua orang kakakku. Ku pohon belas kasihan dari Ayah De dan Tok. Namun bagaikan mencurah air ke daun keladi. Entah dari mana datangnya semangat aku yang tiba-tiba membara, terus aku berlari menuruni tangga meluru ke arah Ayah De.
Aku sekuat-kuat hati menumbuk-numbuk tangannya sambil menjerit, "Jangan bunuh kakok Adda, jangan bunuh". Betapa dramatis betul aku ketika itu.
Aku ingatkan dengan perlakuan aku bagi tujuan menyelamatkan kakakku berjaya melunturkan denda tersebut. Rupa-rupanya berderu-deru timpaan air mencurah menghujani aku pula. Nah, kali ini aku terpalit sama menerima hukuman. Menangis dan meraung-raung aku ketika itu.
Malam itu, ketika usai solat maghrib yang diimamkan oleh Ayah De, kami dipanggil menghadap ke hadapannya. Beliau menjelaskan dengan penuh waspada perihal tindakan yang dilakukan tadi. Katanya hukuman itu dijalankan sebagai peringatan kepada kami bertiga kerana ke dua kakakku tidak mematuhi arahan yang diberikan oleh Tok. Tok sudah mengingatkan agar pulang sebelum pukul 6 petang. Namun, pukul 6.30 dan sehingga nama dipanggil, masih tidak kelihatan batang tubuh mereka berdua.
Manakala aku terpalit sama kerana telah mencampuri urusan Ayah De dan Tok dalam hal tersebut. Walaupun niat aku baik, tetapi ianya tidak sesekali boleh dilakukan. Dalam pada itu, Ayah De kembali menasihati kami dan memujuk agar hati kami agar tenang dan damai semula.
Itulah yang istimewanya lelaki yang kami panggil Ayah De. Dalam ketegasan dan garang semasa mengajar, mendidik dan membentuk kami, tidak pernah sekali kami berdendam dengannya.
Cara dia menyalurkan kasih sayang kepada kami, tidak mampu kami membalasnya. Cara dia menghormati kakak dan abang iparnya iaitu ibubapa kami, amatlah tinggi. Dia menuturkan bahasa yang lembut, memohon pendapat, meminta izin untuk pendekatan yang ingin dia lakukan kepada kami.
Budi pekerti yang ditonjolkan dihadapan kami amatlah tinggi. Kami adik beradik (terutamanya aku), amat terkesan akan kehilangannya. Perginya tanpa sempat aku memandang wajah tenang di akhir pembaringannya. Perginya tanpa sempat aku membalas walau satu kebaikan kepadanya. Perginya tanpa aku mampu melupainya hingga ke hari ini.
Sehingga kini, setiap kali aku terimbau kenangan bersama arwah, aku gagal menahan air mata kerinduan terhadapnya.
Sesungguhnya hidup mati hamba Allah takkan pernah siapa mengetahui. Semoga arwah Ayah De, Ayah Ngah, Anik, Opah dan juga insan yang kita kenali ataupun tidak ditempatkan di dalam golongan yang dicintai Allah. Tenanglah di sana wahai insan-insan yang ku sayangi.
Aku dan kalian juga akan menyusul nanti.
Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment