Pagi ini Firdaus bangun awal tidak seperti hari-hari lain. Bersemangat benar dia bangun pagi, bersarapan dan juga mandi. Bila diajak ke kelas, bukan main teruja dia. Gembira dapat menaiki kereta barangkali.
Sampai dihadapan bangunan yang menempatkan fasiliti dan ruang pejabat NASOM, dia menyambut pegangan tanganku. Terus kami menuju ke tingkat 3 untuk kelas terapi cara kerja.
Sesudah pintu kaca dibuka oleh Jurupulih Terapi Cara Kerja yang sentiasa senyum manis, Firdaus terus ke bilik sebelah kanan paling hujung. Bilik itu merupakan bilik utama yang paling banyak menempatkan alat bagi pelbagai aktiviti.
Ruang yang selari dengan pintu terdapat peralatan yang mempunyai jenis kain yang dapat melekatkan bebola. Dibahagikan kepada 12 petak dan setiap petak di letakkan nombor 1 hingga 10 dan baki lagi 2 hanya garisan. Bagi kanak-kanak yang telah mengenali nombor, mereka akan diuji secara rawak nombor tersebut. Sebagai contoh guru menyebut nombor lima, kanak-kanak akan melekatkan bola diruangan nombor lima sambil menyebut sama.
Di sudut bawah pula terdapat beberapa kepingan plastik berpetak segiempat sama yang mempunyai 9 buah. Setiap petak diletakkan jenis kain atau permukaan yang berbeza. Warna setiap petak juga berbeza. Ada permukaan yang lembut, ada yang kesat, ada yang kasar malah ada yang licin. Tujuan material dan permukaan yang berlainan ini untuk melihat reaksi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila menyentuhnya.
Sebagai contoh, ada kanak-kanak tidak menyukai permukaan berkarpet yang lembut dan ada kanak-kanak terus berjengket apabila berpijak dipermukaan kesat. Setiap kanak-kanak yang mempunyai sensori yang bermasalah akan menunjukkan reaksi apabila memijak petak ini.
Aku dan suami mengenalpasti bahawa pasir memberi rangsangan kepada Zulaikha. Dia menangis apabila dibawa ke pantai semasa kami bercuti di Terengganu. Mungkin dia geli atau tidak menyukai pasir yang melekat di kakinya.
Di tengah ruang bilik pula terdapat 2 buaian yang berbeza serta satu tangga bertali. Buaian digunakan bagi melihat dan membiasakan diri kanak-kanak terhadap suasana semasa dibuaikan. Ada kanak-kanak yang gerun untuk mencuba buaian ini. Manakala tangga bertali pula salah satu fungsinya untuk membolehkan kanak-kanak ini memanjat tangga yang tidak stabil.
Diruang hujung pula terdapat satu petak yang boleh dikatakan kolah kecil yang menempatkan beratus-ratus bola plastik kecil. Kebiasaan kanak-kanak gembira apabila masuk ke kolah tersebut.
Oh, ya terdapat juga sebuah meja, 2 kerusi dan satu papan putih kecil yang ada di sudut sebelah kiri. Ianya digunakan bagi aktiviti motor halus dan juga aktiviti mewarna, memadankan warna serta aktiviti melibatkan penggunaan kertas dan pencil.
Ke semua alatan yang ada mempunyai fungsi dan teknik yang tersendiri bagi mencapai sesuatu objektif. Di sini pentingnya hubungan yang dibina oleh Jurupulih Terapi dan kanak-kanak supaya beberapa 'tembok' ketakutan, geli, gerun, kemalasan serta keaktifan dapat dipecahkan dan disalurkan dalam perkara yang sepatutnya.
Seperti sesi terapi Firdaus, setiap kali kelas, pasti ada perkara baru yang dikenalpasti jurupulih. Samada aktiviti tersebut tidak disukai, teruja mahupun langsung tidak dihiraukannya. Tindakbalas dan reaksi inilah yang membolehkan jurupulih mencuba pelbagai teknik dan aktiviti lain bagi mencapai objektif.
Tiada paksaan di dalam sesi pembelajaran ini. Yang ada pantauan dan teknik untuk membolehkan kanak-kanak mengenali aktiviti-aktiviti tersebut.
Aktiviti ini mungkin nampak mudah bagi kanak-kanak tipikal, tetapi sangat tidak selesa bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah sensori. Saranan saya, sekiranya anda melihat kanak-kanak yang tidak menunjukkan reaksi dan emosi sepatutnya terhadap permainan mereka, rujuklah ke Pakar Kanak-kanak di mana-mana hospital.
Tindakan segera yang anda lakukan memungkinkan anak anda diberi terapi yang bersesuaian.
No comments:
Post a Comment