Thursday, 13 April 2017

HILAIAN KETAWA DI TENGAH MALAM

Malam tadi agak lewat masuk tidur. Anak berdua telah lama menikmati alam mimpi sedari pukul 10.30 lagi. Jarum jam panjang menunjukkan nombor satu dan jarum pendek ke angka 8 ketika daun pintu dibuka.

Tilam bersaiz sederhana yang diapit bersebelahan tilam bersaiz satu dipanjat perlahan agar tidak mengganggu lena anak-anak. Baru sahaja kepalaku menyentuh bantal, terdengar rengekan dari Firdaus. Punggungnya yang hanya mahu dipakaikan lampin itu ditepuk-tepuk agar dia kembali beradu.

Seketika itu, kelihatan baringnya seakan tidak kena. Dia pusing ke kanan dan ke kiri bersilih ganti sambil suaranya merenggek. Terus ku ke dapur mencapai botol susunya dan membancuh 170ml susu. Botol yang dipegang itu ku sua kembali ke mulutnya. Perlahan-lahan aku merebahkan tubuh disebelah kanannya.

Seakan merasai kehangatan tubuh siibu, Firdaus terus memelukku kemas. Aku menutup mata agar segera lena. Beberapa ketika setelah melelapkan mata, terdengar hilaian ketawa berdekah-dekah secara tiba-tiba.

Alahaiiii, janganlah ketawa tengah-tengah malam ni. Bisikku sendirian. Mata yang masih tertutup ini dirapatkan lagi dan pergerakan badan diminimakan sebaik mungkin.

Hilaian ketawa bagaikan digeletek itu kembali menerjah ke cuping telingaku. Terasa begitu hampir malah sebenarnya sudah didengari bersebelahan telinga kiriku. Hilaian itu tiba-tiba senyap. Sesaat itu terasa sesuatu yang sejuk menyentuh ke dahi. Seperti sebuah ciuman.

Hilaian yang terhenti sedetik tadi kembali melantun ke dinding kiri dan kanan bilik utama rumahku.

"Ya Allah, bantulah aku Ya Allah. Aku mengantuk sangat ni. Tidurkan dia"

Anehnya suara itu terdiam. Wah, leganya perasaan ketika itu. Namun tidak sampai setengah jam, kedengaran sekali lagi ketawa memenuhi ruang yang tertutup itu. Sehingga waktu subuh berlalu, jiran sebelah rumah telah memulakan rutin menghantar anak ke sekolah dan angin pagi menyapa rumput di halaman, ketawa itu masih bersisa.

"Firdaus, tak penat ke ketawa je. Jomlah keluar bilik, ibu buatkan susu. Nanti mengantuk, adik tidur yea".

Diekori aku ke dapur dan selesai membuatkan susu, terus dia kembali ke bilik. Tiada lagi kedengaran suaranya ketawa geli hati. Mungkin penat agaknya.

Manakala aku memasuki bilik tengah, menyambung bacaan buku Moving Out karya Puan Anie-Alja. Beberapa helaian lagi untuk selesai pembacaan, aku terlena tanpa disedari. Dapat juga kualiti masa tidur walaupun sekejap.

No comments:

Post a Comment