Thursday, 13 April 2017

KENAPA ADIK KETAWA?

Ketawa berdekah-dekah diselang seli hilaian panjang dari Firdaus agak menjadi kebiasaan dalam kehidupan kami sekeluarga.

Pada awal mengalami situasi ini, agak berdebar juga memandangkan tiada apa yang melucukan. Lebih lagi dia ketawa di dalam bilik yang gelap. Yealah, lampu di dalam bilik akan dipadamkan apabila tiba waktu tidur.  Ketawa yang dilontarkan itu seolah ketawa gelihati apabila dia digeletek atau diciut sesorang. Sememangnya Firdaus nampak galak dan gembira.

Apabila keadaan ini berlaku, tiada tindakan khusus yang digunakan untuk menghentikan ketawanya. Paling tidak pun, siibu ini akan menyentuh lembut bahunya sambil bertanya, "Firdaus, tengah ingat apa tu? Bukan main lagi adik ketawa".

Tiada jawapan yang diberikan melainkan gelak yang bagaikan dibuat-buat. Dia seakan leka dan tenggelam dalam dunianya sendiri.

Pernah jua ibu bertanyakan pada Pegawai Terapi Cara Kerja yang mengajarnya. Secara ilmiahnya, masih belum dapat ditentukan mengapa, kenapa, bagaimana dan sebab apa kebanyakan penghidap autisma berkelakuan begitu. (Ralat: perkara ini tidak semestinya dilalui oleh semua penghidap autisma). Cuma boleh dikatakan mereka ini berkemungkinan mengingati kembali pengalaman atau tontonan yang melucukan di depan mata mahupun di kaca televisyen.

Jadinya mereka ketawa tanpa dapat dikawal. Buat masa sekarang tidak setiap hari Firdaus berkeadaan begitu, ada hari dia tidur lena sampai ke pagi.

Sebagai ibu yang baru beberapa tahun mengalami situasi ini, sudah dapat membiasakan diri. Paling selamat mengajak dia keluar dari bilik dan biarkan dia melompat-lompat melepaskan kelakuan yang tidak dapat dikawal itu. Ada ketika juga, dia enggan keluar bilik.

Maka aku nikmati juga situasi tersebut sambil bertanya, "kenapa adik ketawa dik?" Hanya pandangan mata sahaja yang mampu diberikan padaku dalam kesamaran kelam di dalam bilik itu.


No comments:

Post a Comment