Wednesday, 12 April 2017

TRUST FALL

Siri Penyedia Latihan (2)

Antara aktiviti yang kami sediakan untuk peserta kursus adalah 'Trust Fall'. Aktiviti ini menguji sejauh mana keyakinan dan kepercayaan individu terhadap rakan sekerjanya.  Peserta seramai 35 orang dibahagikan kepada 4 kumpulan. Maka setiap kumpulan mempunyai 8 dan 9 orang ahli.

Apabila memulakan aktiviti ini, seorang ahli akan berdiri di tempat tinggi, di sini kami menggunakan meja atau tembok (sekiranya ada di tempat kursus). Manakala ahli kumpulan yang lain perlu bersedia untuk menyambut tubuh rakan yang berdiri di atas meja tadi. Tangan mereka perlu saling bertaut bagi mengelakkan kecederaan.

Ahli yang berdiri pula perlu membelakangi rakan-rakan yang lain. Ke dua tangan mestu bersilang di dada. Dalam kiraan 3, badan mesti dijatuhkan ke belakang untuk disambut.

Ketika inilah, kami sebagai fasilitator dapat melihat situasi setiap kumpulan. Sekiranya ahli yang berdiri itu mempunyai keraguan terhadap rakannya, maka badan yang dijatuhkan menjadi berat. Ke dua-dua lutut sepatutnya lurus, namun apabila lutut dikendurkan sebelum jatuhan, pasti badan yang disambut menjadi berat.

Ke empat-empat peserta yang berdiri di atas meja tidak berjaya menjatuhkan diri dalam postur tubuh yang sepatutnya. Ada ahli yang hampir mendapat kecederaan. Terus mereka diasak dengan pertanyaan dari pengendali kursus iaitu rakan sekerja aku.

"Bagaimana anda hendak bekerja sebagai satu pasukan yang saling bekerjasama, yang saling memahami sekiranya anda sendiri tidak percayakan rakan sekerja anda?"

Suara yang riuh dengan pelbagai suara tadi terus senyap. Tersentak mereka apabila diasak dengan soalan tersebut. Aktiviti yang nampak tidak mendatangkan faedah itu rupanya mempunyai simbolik kepercayaan terhadap rakan sekerja.

"Adakah anda rasa sikap pentingkan diri anda memudahkan rakan yang lain?"

Suasana masih sunyi. Tiada siapa yang ingin menjawab soalan.

"Di dalam aktiviti ini, kepercayaan dan keyakinan bergantung pada semua orang. Anda yang berdiri di atas harus percaya kepada rakan-rakan di bawah. Anda yang berada di bawah, perlu yakin pada diri sendiri dan yakin antara satu sama lain untuk menyambut rakan anda.  Bayangkan rakan anda yang berada di atas ini adalah ornag yang anda sayangi, adakah anda akan berbuat sambil lewa dan tidak yakin?"

"Tidak, cikgu". (Kebiasaan panggilan cikgu akan diberikan kepada pelatih/ pengendali kursus yang kami jalankan).

"Kamu percayakan rakan kamu?"

"Percaya cikgu".

Suara penuh semangat melantun ke udara. Masing-masing sudah mempunyai 'roh' setelah memahami objektif bagi aktiviti tersebut.

"Sekarang, lakukan aktiviti ini sekali lagi dengan penuh keyakinan dan atas dasar kepercayaan yang tinggi."

Semua bersorak dan terus membentuk kumpulan sepertu awal aktiviti. Kumpulan pertama menjatuhkan diri dengan mata terpejam, tangan disilang ke dada dan kaki lurus terlentang ke udara. Batang tubuh disambut kemas dan kejap hasil dari kombinasi pegangan tangan yang dibuat.

Suara gembira dan teruja kedengaran. Sehinggalah kumpulan ke 4, masing-masing bersorak dan saling mengucapkan tahniah di atas kejayaan setiap kumpulan.

Setelah diperkemaskan lagi oleh pengendali program, mereka dibenarkan berehat dan bersiap untuk slot pada waktu malam pula. Mereka bersurai dengan ketawa riang dan ada di antara mereka mendapat kawan baru.

Yea, mereka berada di jabatan dan bahagian berlainan. Semasa hari pertama baru sahaja mereka mengenali wajah rakan yang lain. Inilah salah satu tujuan kursus yang kami kendalikan. Membentuk budaya kerja yang positif bermula dari mengenali rakan sendiri.


No comments:

Post a Comment