Wednesday, 12 April 2017

SILAP KURSUS?

Siri Penyedia Latihan

Dulu, waktu bekerja di sebuah syarikat Penyedia Latihan dalam tahun 2007, aku ditugaskan menyiapkan kavier nota kursus. Semasa memilih gambar yang dirasakan bersesuaian, aku bertanyakan pada ketua mengenai tajuk kursus.

Dari duduk di kerusi, langsung aku bertanya pada ketua yang ada di dalam biliknya di sebelah dinding sahaja.

"Bos, tajuk kursus ini nak taip apa?"

"One Solid Family" dengan jelas suara ketua menjawab.

"Confirm ye bos, One Solid Family". Aku meminta kepastian.

"Urmmm" jawapan pendek jelas nada suaranya.

Dengan pantas aku menaip tajuk tersebut dan terus mencetak sebanyak 35 keping. Setiap satu dikepilkan sebagai satu set nota dan disudahi dengan binding.

Pagi esoknya, sekitar pukul 10:00 pagi, kami iaitu aku, ketua dan rakan sekerja bergerak ke Port Dickson untuk kursus terbabit. Kami berbual-bual santai sehinggalah ketua meminta salah satu nota yang ada di sebelah tempat duduk aku.

"Eh, hari ini tajuk kursus The Power of Teambuilding, mana awak dapat tajuk ni?" Suara ketua yang agak terkawal itu menggegarkan jantungku.

"Bos, semalam saya tanya, bos bagitahu One Solid Family".

"Mana ada, kita belum lagi ketengahkan tajuk ni, suara siapa yang awak dengar tu?"

Gulp... nafas mana nafas. Rasa nyawa dihujung tanduk dah ni. Terpempan dan terkelu aku bila ketua cakap macam tu. Terus terbayang bagaimana muka benggang pelanggan kami nanti. Malunya! Dah lah ini baru kali ke dua aku ikut kursus yang dikendalikan oleh syarikat.

Sedang pelbagai andaian berasak-asak memenuhi ruang otak, kereta yang dipandu rakan sekerja melewati pagar resort dan terus ke petak parkir. Rakan sekerja terus berurusan dengan pekerja dan selepas itu kami meninjau keadaan bilik seminar yang disediakan.

Beberapa peralatan dan nota diangkut untuk dibawa ke dalam bilik seminar. Aku terus meletakkan nota di setiap meja yang menyediakan kerusi. Manakala rakan sekerja memastikan peralatan audio berfungsi dengan baik serta dapat disambung dengan laptop dan projektor.

Setelah berpuas hati dengan persediaan yang dibuat, ketua memberi arahan agar kami pulang ke bilik untuk bersiap bagi slot petang nanti. Sebelum keluar, ketua memandang dinding yang menjadi latar bilik seminar. Di situ tertampal nama syarikat pelanggan kami, tajuk kursus serta nama syarikat kami. Terpana seketika, bila ketua tunjukkan ke arah tajuk kursus.

'ONE SOLID FAMILY'

Ketua terus senyum dan kami mengucap syukur. Manakala aku yang seawal tiba di resort dengan hati bercelaru, mulai mengukir senyuman. Lega sungguh. Segala beban yang difikirkan tadi hilang ke mana. Terus bersemangat untuk membantu mengendalikan kursus sebagai fasilitator.

Sampai sekarang aku tidak tahu suara siapakah yang menjawab pertanyaan aku tentang tajuk kursus di petang yang tenang itu.

Apa yang penting adalah pihak pelanggan amat berpuas hati dengan aturan modul dan aktiviti sepanjang kursus itu dijalankan. Itulah objektif utama yang perlu kami penuhi sebagai penyedia dan pengendali kursus.



No comments:

Post a Comment